Buaya ditangkap berhampiran sekolah diserah kepada SFC

Buaya ditangkap berhampiran sekolah diserah kepada SFC

KUCHING, 18 Nov – Seekor buaya betina yang ditangkap berhampiran pintu masuk sebuah sekolah di Simunjan kira-kira 120 kilometer dari sini, Rabu lalu diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) petang ini.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata sejak ditangkap buaya tersebut ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan.

“Kami dimaklumkan buaya tersebut akan dibawa untuk dilepaskan di Pusat Hidupan Liar Matang berhampiran Kuching.

“Kejayaan menangkap buaya ini pasti memberi kelegaan kepada penduduk sekitar kawasan tersebut kerana mereka mendakwa buaya yang sama sudah beberapa kali muncul di kawasan itu dan telah membaham ternakan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Rabu lepas, buaya sepanjang lapan kaki itu ditemui di pintu masuk Sekolah Kebangsaan Sungai Lingkau, Simunjan, sebelum bomba dihubungi.

Sepasukan enam anggota dari BBP Simunjan telah dikerahkan ke sekolah tersebut untuk menangkap buaya itu menggunakan jaring, tali, ‘ceiling hook’ serta guni dan berjaya menangkap buaya berkenaan dalam tempoh 35 minit. – Bernama