Buaya sambar pekhemah tidur di Australia

Buaya sambar pekhemah tidur di Australia

SYDNEY, 25 April – Seekor buaya telah menyerang seorang yang sedang berkhemah di utara Australia, menyentaknya keluar dari khemahnya ketika dia sedang tidur awal hari ini, menurut pegawai.

Lelaki berusia 19 tahun itu ‘telah ditahan di hospital semalaman dan kami berharap dapat bercakap dengannya nanti. Dia dalam keadaan yang stabil,” menurut jurucakap jabatan kesihatan kepada dpa.

Mangsa, Peter Rowsell telah mendirikan kem yang jauhnya 15 meter dari sebatang sungai semasa dalam satu aktiviti berkhemah memancing ikan bersama keluarganya di rantau Daly, menurut laporan berita.

Rowsell memberitahu Syarikat Penyiaran Australia, dia telah dikejutkan oleh sesuatu ‘yang menggoncangkan’ kaki kanannya.

“Saya tidur dalam kelambu, dan….saya terbangun dan ada sesuatu yang menggegarkan kaki saya, dan saya terjaga daripada tidur dan melihat ia seekor buaya sepanjang kira-kira tiga ke empat meter,” katanya.

Tambahnya lagi, dia telah menendang reptilia itu ‘sekali atau dua kali’ di kepalanya dan ia balik semula ke dalam air. Jeritannya telah mengejutkan para pekhemah lain dan segera membawanya ke hospital, yang jauhnya dua jam memandu.

Rowsell yang mengalami luka di kaki memberitahu ABC dia tidak pasti sama ada buaya itu jenis air tawar atau jenis besar dan lebih dikhuatiri jenis buaya air masin.

Buaya air masin sering ditemui di sekitar sistem sungai dan lubang air di Wilayah Utara Australia, meskipun sudah ratusan ekor telah dipindahkan, kebanyakannya berhampiran bandar-bandar, oleh para pegawai dalam masa beberapa tahun. –dpa/AFP

ARTIKEL YANG SAMA