‘Bubur Lambuk Pak Hassan’ laris sempena Ramadan

‘Bubur Lambuk Pak Hassan’ laris sempena Ramadan

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) – “Bubur Lambuk Pak Hassan”, Kampung Baru laris dijual sehingga 7,500 bungkus sehari pada harga RM2 sebungkus sempena Ramadan.

Pengusahanya, Abu Bakar Mohamad, 69, atau lebih terkenal sebagai Hassan berkata kira-kira 30 periuk besar bubur lambuk dihasilkan pada setiap hari bekerja dan sekurang-kurangnya 15 periuk besar pada hujung minggu dengan anggaran kos antara RM200 dan RM250 setiap periuk.

Menurut beliau, permintaan akan meningkat apabila terdapat pesanan daripada syarikat korporat.

“Pada hari pertama puasa tahun ini, kami menghasilkan 31 periuk besar bubur lambuk dan paling banyak mencecah 39 periuk besar pada minggu kedua puasa. Satu periuk besar dapat menghasilkan sebanyak antara 250 dan 260 bungkus bubur lambuk,” katanya kepada Bernama.

Menurut Abu Bakar rutin harian memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan ini bermula selepas solat Subur dan memakan masa dua jam dengan dibantu 24 petugas termasuk ahli keluarga dan jiran.

Orang ramai mula beratur seawal tengah hari bagi membeli bubur lambuk Pak Hassan yang terkenal di Kampung Baru. – Bernama
Orang ramai mula beratur seawal tengah hari bagi membeli bubur lambuk Pak Hassan yang terkenal di Kampung Baru. – Bernama

Abu Bakar yang berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah dan merantau ke ibu kota sejak 19 tahun lepas berkata ilham untuk menghasilkan bubur lambuk Pak Hassan tercetus pada 1983 sempena bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru.

Pada tahun berikutnya beliau memberanikan diri untuk mengusahakan bubur lambuknya sendiri dan dari tahun ke tahun usaha gigih beliau mendapat sambutan yang menggalakkan. Mengenai persaingan dengan peniaga lain, Abu Bakar berpendapat beliau tiada masalah dengan perkara tersebut kerana sentiasa menjaga kualiti bubur yang dihasilkan.

“Walaupun mempunyai ramai kakitangan untuk membantu, hanya saya seorang yang akan memasak bagi memastikan rasa bubur sekata dan terkawal,” katanya.

Seorang pelanggan, Mohd Khusairi Alias, 50, dari Cheras berkata sejak dari zaman bujang hingga sudah mendirikan rumah tangga, hampir saban tahun beliau akan ke Kampung Baru semata-mata untuk membeli bubur lambuk kerana rasa buburnya yang bukan sahaja sedap malah tidak berubah sejak dahulu.

ARTIKEL YANG SAMA