Budak 6 tahun maut disambar buaya

Budak 6 tahun maut disambar buaya

Oleh Hajah Saemah Kepli dan Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 5Julai – “Saya akan kehilangan suara manjanya, dia sangat rapat dengan saya, tetapi semua ini adalah kehendak Allah Subhanahu Wata’ala dan saya reda akan pemergiannya,” kata si ayah sambil menitiskan air mata meluahkan perasaannya setelah kehilangan anak lelakinya yang telah menjadi mangsa buaya dalam kejadian petang tadi.

Awang Salihin bin Osman, 60, semasa ditemui Media Permata di kediamannya di Kampung Sungai Teraban hari ini, memberitahu, selepas menunaikan sembahyang dia duduk di ruang depan sambil menonton televisyen apabila kemudiannya dikejutkan oleh dua orang anak lelakinya yang mengatakan adik mereka disambar buaya.

“Saya seperti terjun tidak bertangga, tiada terasa lagi bumi dipijak, apabila mendengar berita disampaikan, saya terus menuju ke kawasan tebing sungai di belakang rumah kami, kemudian terjun ke dalam sungai untuk mencari anak lelaki bongsu saya itu,” ceritanya.

Menurutnya, tiga orang anak lelakinya termasuk anak lelakinya yang bongsu pada awalnya memberitahu mereka mahu pergi memancing di tebing sungai di belakang rumah.

Memang sudah menjadi kebiasaan kadang-kadang anak-anaknya pergi memancing tetapi dia selalu mengingatkan supaya tidak mandi di dalam sungai tersebut.

Awang Salihin semasa menceritakan kejadian kepada pihak media Kuala Belait.
Awang Salihin semasa menceritakan kejadian kepada pihak media Kuala Belait.

“Seperti yang saya katakan, ini semua sudah kehendak Allah, dua orang anak lelaki saya memberitahu, selepas memancing mereka kemudiannya mandi dan duduk di kawasan lopak berdekat sungai, dan tidak lama selepas itu, anak bongsu saya disambar buaya.

“Dua orang anak saya sempat menarik sebelah lagi tangannya tetapi menurut mereka, ia terlalu keras dan kuat ditarik oleh buaya,” kata Awang Salihin.

Dengan dibantu oleh jiran tetangga Awang Salihin kemudiannya pada kira-kira pukul 1:15 petang telah menemui anak bongsunya yang diheret buaya sejauh kira-kira 100 meter dari kawasan lopak tempat anak-anaknya duduk.

Mayat anaknya ditemui dalam keadaan tertiarap dan terdapat luka di bahagian tangan, berlubang di kepala, luka parah di leher dan bahagian belakang.

Kawasan inilah mayat Awang Mohd Haikal, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh ayahnya sendiri.
Kawasan inilah mayat Awang Mohd Haikal, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh ayahnya sendiri.

Pasangan Awang Salihin dan isterinya Dayang Raimah Mahali, 47, telah dikurniakan seramai 13 orang anak. Awang Mohd Haikal Al-Majid, yang menjadi mangsa disambar buaya hari ini adalah anaknya yang bongsu, berusia 6 tahun, bersekolah dalam darjah satu di Sekolah Rendah Sungai Teraban.

Menurut Awang Salihin, anaknya itu sangat rapat dan manja dengannya, dan kadang-kadang bergaduh dengan temannya, kerana kenakalannya, “dan kini saya akan merasakan kehilangannya,” katanya sambil teresak menangis. Penduduk di kampung itu memberitahu anak sungai di belakang rumah mereka memang sering kelihatan buaya timbul dengan saiz badan yang besar, tetapi tidak pernah mengganggu, menurut mereka pernah suatu ketika berlaku seorang kanak-kanak hampir-hampir disambar buaya tetapi terselamat.

Sehubungan itu penduduk di sana berharap kepada pihak berkenaan, jika dapat dibina pagar di kawasan tebing-tebing sungai terutama yang berdekatan dengan rumah sebahagian penduduk di sana, supaya menghindari daripada kejadian yang sama berulang lagi.“Kami memang sering terlihat kemunculan buaya timbul di anak sungai itu, bukan seekor tetapi berpuluh-puluh ekor pun pernah kelihatan,” kata beberapa penduduk di rumah mangsa petang tadi.

ARTIKEL YANG SAMA