Budak dirantai ditemui

Budak dirantai ditemui

Oleh Siti Hajar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Seorang budak lelaki berusia antara 13 dan 14 tahun yang dipercayai menghidap Sindrom Down dan dirantai kakinya, ditemui merayau di sekitar Jalan Berakas hari ini.

Menurut Pasukan Polis Diraja Brunei, budak itu dibawa ke Balai Polis Berakas selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan pihak polis juga sudah mengenal pasti kediamannya.

Persoalan sama ada budak itu didera juga kini sedang disiasat oleh Unit Siasatan Penderaan Wanita dan Kanak-kanak.

Menurut penduduk sekitar kawasan dia ditemui, budak lelaki itu ada kalanya dilihat bermain di jalan raya, menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatannya.

Seorang pekerja di sebuah stesen minyak berdekatan menjelaskan, budak itu sering kelihatan berjalan di jalan raya utama hampir dengan kediamannya selepas balik dari sekolah berdekatan dan sudah menjadi kebiasaannya untuk mengunjungi beberapa buah kedai di kawasan itu.

“Dia sudah lama tidak datang,” katanya, “namun hari ini dia kali pertama datang ke sini dengan rantai di kakinya, sehinggakan kami cuba membuka rantainya tetapi tidak berjaya.

“Kami terkejut melihat dia datang dalam keadaan begitu.”

Menurut pekerja itu lagi, budak lelaki itu sering meminta sedekah daripada pengunjung namun daripada memberikan wang tunai, mereka memberikannya minuman.

“Terdapat beberapa orang memberinya wang namun lebih kerana simpati ketika dia tidak memintanya.”