Budak diseludupi dalam beg

Budak diseludupi dalam beg

MADRID, 8 Mei (AFP) – Polis menemui seorang budak lelaki warga Ivory berusia lapan tahun yang disembunyikan di dalam bagasi yang diseludupi menyeberangi sempadan masuk ke wilayah Sepanyol di utara Afrika, menurut pegawai hari ini.

Seorang wanita berusia 19 tahun membawa bagasi itu menuju ke lintasan pejalan kaki dari Maghribi ke wilayah Ceuta yang ditadbir Sepanyol semalam, menurut jurucakap pasukan polis Pengawal Awam.

“Apabila mereka meletakkan bagasi itu melalui pengimbas, operator menyedari sesuatu yang ganjil, yang kelihatan seperti bentuk seseorang berada di dalam beg berkenaan,” ujarnya kepada AFP.

“Apabila ia dibuka, mereka menemui seorang kanak-kanak, berada dalam keadaan yang menyedihkan.”

Budak lelaki itu mengatakan dia berusia lapan tahun dan berasal dari Ivory Coast, menurut jurucakap.

Budak lapan tahun yang disembunyikan di dalam bagasi. – AFP
Budak lapan tahun yang disembunyikan di dalam bagasi. – AFP

Pengawal Awam telah menangkap wanita tersebut, yang dijangka akan dihadapkan ke mahkamah.

Mereka juga telah menangkap ayah budak berkenaan apabila dia cuba untuk menyeberangi sempadan itu beberapa jam kemudian. Ayahnya merupakan penduduk Ivory dan menetap di Pulau Canary, Sepanyol.

Beribu penghijrah setiap tahun merisikokan nyawa mereka untuk cuba memasuki Ceuta dan wilayah lain Sepanyol yang bersempadan dengan Maghribi, Melilla, untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah.

Kebanyakan warga Afrika cuba untuk memanjat pagar tujuh meter yang memisahkan bandar-bandar Sepanyol dari Maghribi. Yang lain menyeludup diri mereka masuk ke sempadan dengan bersembunyi dalam kenderaan dan kargo atau cuba untuk berenang dari pesisir tepi Maghribi.

Awal minggu ini seorang warga Maghribi berusia 23 tahun didapati berada di dalam kontena perkapalan dalam pelabuhan di Melilla.

Dia ditemui dinyahhidratkan selepas empat minggu terkurung tanpa makanan atau air, sejak kontena itu dibiarkan sehingga hujung minggu cuti Mei.