Budak ditemui selepas enam hari hilang

Budak ditemui selepas enam hari hilang

TOKYO, 3 Jun – Budak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang, yang telah berada selama hampir seminggu berlindung di sebuah pondok selepas ditinggalkan oleh ibu bapanya di hutan yang dihuni beruang di utara Jepun sebagai hukuman, telah ditemui masih hidup hari ini, menurut para pegawai.

Yamato Tanooka ditemui berada di dalam pangkalan tentera oleh seorang tentera kira-kira 5.5 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang Sabtu lalu, dan dia dalam keadaan sihat tidak mengalami kecederaan.

Menurut laporan dia telah berlindung di dalam pondok itu dan menemukan paip air untuk minum tetapi dia kelaparan dan serta-merta diberikan makanan apabila ditemukan.

Selepas penemuan penuh emosi, ayahnya yang penuh sesal muncul di hadapan media dan memohon maaf kerana mengakibatkan pengalaman getir anaknya itu.

Ibu bapa Yamato dikecam teruk di media sosial kerana memaksanya turun dari kereta di jalan raya pergunungan sebagai hukuman kerana berkelakuan tidak baik.

Seorang pejalan kaki melintasi sebuah televisyen yang melaporkan berita mengenai penemuan budak yang hilang di Tokyo kelmarin. - AFP
Seorang pejalan kaki melintasi sebuah televisyen yang melaporkan berita mengenai penemuan budak yang hilang di Tokyo kelmarin. – AFP

“Seorang pegawai Pasukan Pertahanan Sendiri(SDF) yang dalam latihan menemukan budak lelaki itu yang berusia tujuh tahun,” menurut Tomohito Tamura, jurucakap polis di pulau utara, Hokkaido.

“Tidak ada kecederaan luaran yang ketara, dan budak lelaki itu memperkenalkan dirinya sendiri sebagai Yamato Tanooka,” dia memberitahu AFP, dengan menambah kata ibu bapanya telah bersatu dengannya dan mengesahkan dia adalah anak lelaki mereka.

Budak lelaki itu ‘nampak dalam keadaan sihat’ tetapi telah dibawa ke hospital dengan helikopter bagi menjalani pemeriksaan sebagai langkah mencegah, menurut jurucakap SDF Manabu Takehara.

Ayah Yamato yang penuh emosi kemudian tunduk dalam memohon maaf apabila bercakap kepada para pemberita di luar hospital tempat anaknya sedang diperiksa, dalam kemunculan yang disiarkan oleh penyiar awam, NHK.

“Tindakan saya yang keterlaluan telah memaksa anak lelaki saya mengharungi detik menyakitkan,” kata Takayuki Tanooka.

“Saya benar-benar memohon maaf kepada semua pihak di sekolahnya, pihak dalam operasi menyelamat, dan semua orang kerana masalah yang mereka hadapi,” dia menambah kata, dan berterima kasih kepada mereka yang telah berusaha mencarinya.

“Perkara pertama yang saya katakan kepada anak saya ialah “Saya meminta maaf kerana mengakibatkannya berdepan penderitaan kerana saya,” katanya dan menambah kata anaknya membalas dengan menganggukkan kepalanya. – AFP