Budak hancur pergelangan tangan akibat mercun

Budak hancur pergelangan tangan akibat mercun

KLANG, 23 Jun (Bernama) – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hancur pergelangan tangan kiri dan melecur di bahagian dada selepas terkena mercun jenis ‘A-Boom’ dalam kejadian di Taman Mutiara, Tanjung Sepat, Banting, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Mohd Azman Syakir Mohd Saizi dipercayai bermain mercun bersama rakan-rakannya sebelum mercun yang dicucuhnya itu meletup mengenai tangan serta badan mangsa. Ibu kanak-kanak itu, Rozeta Abdul Razak, 27, ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini berkata dia terkejut dengan kejadian menimpa anak keduanya itu dan tidak menduga perkara itu boleh berlaku.

“Apabila terdengar letupan dan jeritan saya segera keluar sebelum melihat Syakir menangis sambil memegang tangan kirinya yang dipenuhi darah lalu membawanya ke hospital.

“Saya sedih dengan kejadian yang menimpa Syakir dan sangat kesal kerana ada pihak tidak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar yang jelas menunjukkan muka (mangsa) serta kecederaan tangan anak saya sehingga gambar itu menjadi viral di Facebook,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Gambar Mohd Azman Syakir yang sedang menerima rawatan di hospital telah menjadi viral di laman sosial Facebook sejak tengah malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Surgikal HTAR Dr Rozita Mohamed berkata Mohd Azman Syakir merupakan kes pertama kecederaan berkaitan mercun yang diterima hospital itu pada bulan Ramadan ini.

“Kanak-kanak ini telah dibawa ke Hospital Banting sebelum dirujuk ke HTAR kira-kira pukul 9.30 malam tadi dan kita telah memberi rawatan susulan termasuk melakukan pembedahan ke atas tangannnya.

“Kini mangsa dalam keadaan stabil…dia mengalami kecederaan teruk di pergelangan tangan yang mana ia hancur serta tidak boleh diselamatkan. Mangsa juga mengalami beberapa luka di mata serta bahagian dada,” katanya.

Dr Rozita turut memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas ke atas kakitangannya sekiranya mereka didapati terlibat dalam pengedaran gambar mangsa.

ARTIKEL YANG SAMA