Budak lelaki rentung, kebakaran rumah di Miri

Budak lelaki rentung, kebakaran rumah di Miri

MIRI, 18 Mac (Bernama) – Seorang budak lelaki berumur 10 tahun rentung dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Padang Kerbau, Kampung Pujut di sini pada kira-kira 6 pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kong berkata, budak lelaki itu dikenali sebagai Mohd Farisikmal Taib dan menurutnya tingkat bawah rumah itu turut dijadikan bengkel membaiki kereta.

“Mangsa dipercayai tidur di tingkat satu dan kemudian lantai runtuh (akibat kebakaran itu), mangsa jatuh ke bawah di ruang tempat letak kereta,” katanya kepada pemberita hari ini.

Law berkata anggota keluarga mangsa yang terdiri daripada tiga orang dewasa dan seorang kanak-kanak bagaimanapun sempat menyelamatkan diri.

Beliau berkata empat buah kereta dan sebuah motosikal turut terbakar dalam kejadian itu.

Katanya anggota bomba tiba ke lokasi kebakaran pada pukul 6.09 pagi dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 6.27 pagi.

Punca kejadian sedang disiasat.