Budak maut tertimbus pasir

Oleh Mazlina M.D. & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia 10 tahun yang tertimbus dalam pasir di tapak pengambilan pasir Sungai Paku Tutong, kelmarin, telah disahkan meninggal dunia di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), di sini.

Balai Polis Tutong mengesahkan mengenai perkara berkenaan dan menyatakan bahawa punca kejadian masih disiasat.

Sebelum itu, balai polis berkenaan memberitahu bahawa mereka menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 4:10 petang.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) pula telah melaporkan bahawa panggilan mengenai kejadian berkenaan telah diterima pada pukul 4 petang dan segera mengerahkan dua buah jentera dan enam orang anggota dari Balai Bomba Sungai Liang dengan diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Sungai Liang, Awang Ramlee ke tempat kejadian.

Anggota bomba bertindak menggali pasir menggunakan cangkul dan bantuan jentolak milik Syarikat Bukit Tinggi Construction.

Mangsa ditemui pada jam 4:42 petang dalam keadaan tidak sedar dan segera dibawa ke Hospital PMMPMHAMB.

Siasatan JBP mendapati mangsa adalah kanak-kanak perempuan berbangsa Inggeris dan tertimbus dalam timbunan pasir setinggi 20 meter semasa bermain pasir di kawasan tersebut.