Budapest Operette pukau penonton

Budapest Operette pukau penonton

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Alunan muzik yang menawan dan indah serta persembahan yang penuh bertenaga menambat hati para penonton yang menyaksikan persembahan Kumpulan Budapest Operette and Musical Theatre semasa Toyata Classics 2015 yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong, kelmarin.

Dengan mengetengahkan falsafah ‘Music That Moves Lives,’ persembahan itu dibawa khas bagi para penggemar muzik klasikal di Brunei oleh Toyota Motor Asia Pacific Pte Ltd dan NBT (Brunei) Sdn Bhd.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa persembahan itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Pengiran Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit dan Rinawaty binti Abdullah @ Suzanne Rahaman Aeby serta para jemputan lain.

Satoru Suzuki menyampaikan cek kepada SMARTER Brunei yang diterima oleh Pengiran Zamri dan disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Hazair.
Satoru Suzuki menyampaikan cek kepada SMARTER Brunei yang diterima oleh Pengiran Zamri dan disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Hazair.
Persembahan menarik daripada Kumpulan Budapest Operette and Musical Theatre menghiburkan para penonton.
Persembahan menarik daripada Kumpulan Budapest Operette and Musical Theatre menghiburkan para penonton.
Di antara penonton yang menyaksikan Persembahan Toyota Classics 2015.
Di antara penonton yang menyaksikan Persembahan Toyota Classics 2015.

Terdahulu, sebelum bermulanya persembahan itu, Pengarah Urusan NBT (Brunei) Sendirian Berhad, Ninan Chacko dalam ucapan alu-aluannya berkata beliau amat menghargai usaha Toyota Motor Asia Pacific melaksanakan komitmen tanggungjawab sosial korporatnya untuk menghulurkan khidmat bakti kembali kepada masyarakat yang banyak menyokong Toyota dan Lexus.

Beliau berkata bahawa, bagaimanapun keadaan sosial, politik dan ekonomi global pada masa ini, Toyota Motor Asia Pacific dan NBT akan terus komited untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan atau kurang bernasib baik.

Pada majlis itu, tiga keping cek berjumlah $60,000 kesemuanya telah disampaikan kepada tiga buah persatuan iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Annur Harapan dan Persatuan SMARTER Brunei.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan cek berjumlah $20,000 setiap satu kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang diterima oleh Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman dan kepada Annur Harapan yang diterima oleh Pengarahnya, Alfred Sim.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Toyota Motor Asia Pacific, Satoru Suzuki pula menyampaikan cek berjumlah $20,000 kepada persatuan SMARTER Brunei yang diterima oleh Naib Presidennya, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

Majlis diteruskan dengan persembahan menarik daripada Kumpulan Budapest Operette and Musical Theatre yang bukan sahaja mempersembahkan susunan muzik tetapi juga tarian dan nyanyian oleh ahli-ahli kumpulan artis berkenaan.

Negara Brunei Darussalam merupakan perhentian pertama bagi kumpulan berkenaan yang mengadakan persembahan bagi Toyota Classics, yang mana kumpulan itu juga dijadualkan untuk mengadakan persembahan di Filipina, Malaysia, Vietnam, Thailand, Laos dan Kemboja sepanjang Oktober ini.

ARTIKEL YANG SAMA