Budaya bersedia komponen pengurusan bencana paling berkesan

Budaya bersedia komponen pengurusan bencana paling berkesan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan, hari ini berkenan berangkat bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bencana Kebangsaan 2016.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Timbalan Pengerusi Bersama (Tetap) Majlis Bencana Kebangsaan; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi selaku Timbalan Pengerusi Bersama Majlis Bencana Kebangsaan.

Semasa mesyuarat berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda mukadimah yang menyentuh isu penyebaran jangkitan virus Zika yang semakin meluas dan turut menjejaskan negara lain sehinggalah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam.

Duli Yang Teramat Mulia menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memperkenankan penubuhan Petugas Pelbagai Sektor (Multi-Sectoral Taskforce) bagi menangani ancaman jangkitan virus Zika.

Penubuhan petugas tersebut membuktikan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan yang amat mendalam terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Duli Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan mempengerusikan mesyuarat, kelmarin.
Duli Pengiran Muda Mahkota ketika berkenan mempengerusikan mesyuarat, kelmarin.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota bergambar ramai bersama ahli-ahli Mesyuarat Majlis Bencana Kebangsaan 2016.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota bergambar ramai bersama ahli-ahli Mesyuarat Majlis Bencana Kebangsaan 2016.

Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda bahawa tindakan segera yang diambil adalah tepat sekali dengan melihat kepada impak jangkitan virus Zika yang tidak sahaja terhad kepada kesihatan individu, malahan juga berpotensi menjejaskan situasi sosial dan ekonomi negara.

Bagi menangani ancaman jangkitan Zika, Duli Yang Teramat Mulia bersabda pendekatan whole-of-nation terhadap isu-isu kepentingan negara seumpama ini adalah perlu, di mana semua lapisan masyarakat dan individu sama-sama bertanggungjawab membantu kerajaan mencegah pembiakan nyamuk daripada menular dan tidak terkawal.

Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda bahawa kebergantungan kepada usaha agensi-agensi kerajaan untuk bertindak secara berlebihan seperti semburan asap dan penggunaan racun serangga, bukanlah satu usaha yang berkesan, mesra alam atau mapan dan menekankan penglibatan dan penyertaan masyarakat adalah kunci kepada keberkesanan usaha pencegahan dan mengawal penyebaran jangkitan Zika di negara ini.

Majlis turut diperingatkan akan peranan mereka dalam memperkemas dan memperkasakan lagi tahap kesediaan menangani isu berkenaan sebagai satu ‘kejadian’ menurut takrif Perintah Pengurusan Bencana 2006, melalui pendekatan-pendekatan pragmatik ke arah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini dalam konteks strategi persediaan.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya mengingatkan kita perlu menilai sejauh manakah negara telah berjaya mewujudkan dan menerapkan budaya bersedia dalam kalangan institusi-institusi kerajaan, pendidikan dan swasta di negara ini khususnya orang awam.

Usaha itu termasuklah merebiu dan mengemaskinikan Rancangan Tindakan Awam dalam bentuk dan perisian sedia ada, sekiranya belum mencakupi kejadian seperti jangkitan Zika atau seumpamanya sebagai rujukan prosedur bagi orang ramai.

“Sesebuah negara dan rakyatnya yang sudah diperkasa dengan budaya bersedia merupakan komponen pengurusan bencana paling berkesan apabila berdepan bencana,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Duli Yang Teramat Mulia menyarankan agar setiap ahli dapat memberikan tumpuan khusus terhadap usaha ke arah pembentukan rangka kerja dasar strategik bagi majlis berkenaan, sebagaimana menurut kehendak Perintah Pengurusan Bencana Kebangsaan 2006 kerana ia signifikan ke arah memantapkan lagi peranan majlis dalam memberi nasihat serta hala tuju pengurusan bencana bagi negara ini.

“Apa yang paling utama ialah setiap perancangan hendaklah diikuti dengan pelaksanaan teratur serta berkesan di samping membuat penilaian semula terhadap keberkesanan tindakan yang telah diambil secara konsisten,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

“Kolaborasi yang kukuh bersama pihak yang berkepentingan dalam sektor awam dan swasta juga tidak kurang pentingnya terutama pihak media yang merupakan asas kepada keberkesanan dan kejayaan sepenuhnya pelaksanaan setiap perancangan berkaitan kesedaran, persediaan dan respons orang awam.

“Perkongsian maklumat bukan sahaja perlu bersifat responsif kepada keperluan orang ramai, malahan hendaklah jua proaktif dan bersifat pendidikan serta boleh dipercayai.

“Yang pastinya, orang ramai merupakan rakan utama kita dalam memastikan penyebaran maklumat misalnya tentang jangkitan virus Zika dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta sahih dan tepat,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam sembah alu-aluannya telah menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah kerana memperkenankan penubuhan Multi-sectoral TaskForce bagi menangani jangkitan Virus Zika.

Penubuhan Multi-Sectoral Taskforce tersebut, menurut Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, menggambarkan keprihatinan Baginda Sultan akan hal ehwal keselamatan dan kesejahteraan rakyat Baginda.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam sembah taklimat pula menyembahkan mengenai usaha-usaha yang dilaksanakan khususnya dalam perkembangan Pelan Persediaan Menghadapi Jangkitan Virus Zika di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain seterusnya menyembahkan bahawa pemantauan strategik tindakan ini telah disediakan oleh Multi-Sectoral Taskforce bagi menangani jangkitan Virus Zika, yang telah bermesyuarat sebanyak enam kali sejak penubuhannya.

Mesyuarat juga mendengarkan sembah taklimat tentang situasi jangkitan virus Zika pada peringkat global dan serantau serta hasil penilaian risiko bagi negara ini khususnya pelan kesiapsiagaan negara untuk mencegah, mengesan dan mengawal jangkitan.

Mesyuarat turut mendengarkan cadangan bagi merebiu dan mengemaskini Strategic National Action Plan for Disaster Risk Reduction 2012-2015 (SNAP); dan cadangan bagi pembentukan Rangka Kerja Strategik Pengurusan Bencana bagi Negara Brunei Darussalam, termasuk penganjuran ASEAN Regional Disaster Emergency Response Simulation Exercise (ARDEX) mulai 28 November hingga 1 Disember 2016 di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA