Budaya etnik dikagumi

Budaya etnik dikagumi

KOTA KINABALU, 10 Jan (Bernama) – Delegasi ke Persidangan Ke-23 Persidangan Speaker dan Yang Dipertua Dewan Negara-negara Komanwel (CSPOC) hari ini kagum dengan pelbagai budaya etnik dan tradisi Sabah yang dipersembahkan kepada mereka semasa melawat Kampung Budaya Mari-Mari.

Semasa lawatan prapersidangan ke kampung budaya terletak kira-kira 15 km dari sini, para delegasi antara lain berpeluang menyaksikan pelbagai tarian tradisional etnik Sabah seperti tarian ‘magunatip’ suku kaum Murut dan tarian etnik Lundayeh.

Sesetengah anggota delegasi juga turut bersama menari apabila diajak serta menguji bakat mereka dalam penggunaan peralatan memburu tradisional yang dahulu digunakan oleh etnik Sabah seperti sumpit.

Sebahagian delegasi juga meluangkan masa dengan melawat rumah tradisional suku kaum Bajau, Murut, Rungus, Dusun dan Lundayeh yang dibina di kampung budaya itu.

Delegasi juga dihidangkan dengan makanan tradisional seperti ‘bambangan’ dan juga pelbagai ulam.