Budaya kita tarikan utama

Budaya kita tarikan utama

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Bagi kebanyakan pelancong luar negara, pantai-pantai putih mulus dan dibarisi pokok palma, hutan tropika dan Kampong Ayer yang terkenal merupakan tarikan utama Brunei.

Namun bagi syarikat peninjau pelancongan antarabangsa China, Hotels.com yang mengeluarkan tinjauan minggu ini, budaya Brunei menjadi daya tarikan utama pelancong China.

Pelancong China meletakkan Brunei dalam destinasi kelima paling popular di seluruh dunia bagi menerokai budaya, di belakang Jepun, Australia, India dan Kemboja, menurut tinjauan itu.

Tinjauan dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran Ipsos dalam Mei 2016, daripada kalangan 3,000 pelancong China. Bagi melengkapkan data tersebut dengan pendapat pengusaha hotel, Hotels.com menjalankan satu tinjauan global terdiri daripada 5,800 rakan kongsi penginapan.

Hotels.com meramalkan orang-orang yang dilahirkan dalam era 90an, merupakan segmen yang pantas berkembang, dengan kumpulan itu membelanjakan lebih suku peratus daripada pendapatan mereka ke atas pelancongan antarabangsa, menurut data itu.

“Data itu seharusnya menggalakkan pasaran untuk memikirkan pelancong China secara berbeza. Tanggapan pelancong China sebagai kumpulan jelajah bas yang hanya mahukan sarapan Cina dan terjemahan Mandarin sudah lapuk.”

“Penyelidikan kami menunjukkan pelancong China lebih sofistikated dan diversiti berbanding sebelumnya,” kata Naib Presiden dan Pengarah Urusan Asia Pasifik Hotels.com, Abhiram Chowdhry.

Menurut rangkaan baru-baru ini oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), pelancong China merupakan yang kedua terbesar melancong ke negara ini selepas rakyat Malaysia dalam suku pertama tahun ini.

Jumlah ketibaan pelancong China ini menunjukkan sedikit pertambahan kepada 17.7 peratus berbanding 16.5 peratus dalam suku pertama 2015.

China dan Malaysia juga kekal sebagai penyumbang utama dalam pasaran rekreasi dan percutian pada 55.7 peratus dalam suku pertama 2016 yang masing-masing mewakili 37.5 peratus dan 18.2 peratus.

ARTIKEL YANG SAMA