Budayakan amalan-amalan sunat

Budayakan amalan-amalan sunat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 12 Jun – Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohammad Jamalul Alam dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, kelmarin, telah menganjurkan Majlis Kuliah Dhuha, yang berlangsung di masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasminan bin Haji Mohd Taib.

Kira-kira 10 orang dalam kalangan pegawai dan kakitangan Jabatan Kerajaan serta ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jemaah dan Muslimah Masjid Mohammad Jamalul Alam Kuala Belait, menghadiri majlis berkenaan. Ia antara lain bertujuan untuk menyahut hasrat dan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas nikmat dan rezeki yang telah dikurniakan kepada hambaNya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membudayakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Sunat Dhuha, membaca Zikir, Ratib Al-Attas dalam kalangan para pesertanya serta menjadikan zikir sebagai amalan harian dan budaya dalam kehidupan seharian.

Majlis telah dimulakan dengan Solat Tahiyatul Masjid, disusuli dengan Solat Sunat Dhuha dan Hajat berjemaah yang telah diimamkan oleh Pemangku Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Aminordin bin Haji Mohd Yussof.

Kuliah Dhuha yang mengetengahkan kelebihan Solat Dhuha dan Ratib Al-Attas telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Selepas itu, bacaan Ratib Al-Attas telah dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Haji Mohd Alias bin Bakar dan bacaan Doa Khas dibacakan oleh Ketua Kawasan 1 Masjid Daerah Belait, Awang Akup bin Haji Lamat.

ARTIKEL YANG SAMA