Budayakan cara hidup sihat

Budayakan cara hidup sihat

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 30 Okt – Kementerian Pertahanan tidak ketinggalan dan turut dipertanggungjawabkan untuk mendukung serta mengukuhkan perkhidmatan berhenti merokok dalam kalangan warganya bagi meningkatkan kesedaran dan komitmen secara menyeluruh di kementerian berkenaan, sekali gus menangani, mencegah serta mengawal tabiat yang kurang sihat.

“Komitmen Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dibuktikan dengan lantikan beberapa orang pegawai dan anggota selaku Pegawai Penguat Kuasa Perintah Tembakau 2005 pada tahun 2011,” kata Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar ketika berucap di Upacara Perbarisan Tamat Latihan Bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-154 yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Penanjong Garison, hari ini.

Di samping itu, beliau juga menyeru para rekrut yang diraikan untuk bijak membuat perubahan kehidupan berdasarkan kepada pendekatan kesihatan dan keselamatan dengan menggalakkan amalan cara hidup sihat termasuk tempat tinggal yang sihat, keselamatan latihan dan suasana pejabat serta keselamatan di tempat kerja.

“Dari itu, sama-samalah kita membudayakan cara hidup sihat dan keselamatan yang sudah dilatih sejak bermulanya latihan asas ketenteraan sehinggalah saat menamatkan kerjaya tentera nanti.”

Datin Paduka Hajah Suriyah menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Datin Paduka Hajah Suriyah menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Datin Paduka Hajah Suriyah juga menekankan pentingnya untuk mempunyai integriti yang tinggi di mana integriti itu bukan sahaja dikaitkan dengan etika individu tetapi juga pada etika organisasi.

“Dari itu, saya ingin mengingatkan para hadirin sekalian, juga kepada para rekrut, untuk terus menegakkan integriti diri dan juga integriti sebagai sebuah organisasi yang penuh profesional dan berdisiplin.”

Datin Paduka Hajah Suriyah menekankan lagi, “Apa yang turut sama penting adalah untuk mengamalkan sikap saling ingat-mengingati bagi meningkatkan kewaspadaan bersama.”

Beliau turut menyatakan harapan supaya para rekrut akan menjadi contoh yang baik serta teladan kepada orang ramai dan turut mengingatkan kepada mereka bahawa ABDB ialah sebuah institusi yang berdisiplin, berwibawa dan profesional.

“Dari itu, awang-awang mestilah sentiasa peka akan tanggungjawab yang telah diamanahkan, baik semasa bertugas ataupun tidak, demi menjaga imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.”

ARTIKEL YANG SAMA