Budayakan cara hidup sihat

Budayakan cara hidup sihat

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 23 Sept – 10 pelari veteran dan junior dari Negara Brunei Darussalam dijangka akan memeriahkan program Mooncake Festival Night Run 2015 di Dataran Jubli Emas pada 27 Sept ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Daniel Desmond Benjamin berkata larian itu diadakan dalam usaha merapatkan hubungan antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang dengan komuniti setempat.

Katanya bermotokan polis dan masyarakat berpisah tiada,program itu mampu memberi peluang kepada masyarakat untuk beriadah pada waktu malam selain membudayakan gaya hidup sihat.

“Program ini juga membuktikan bahawa daerah Limbang adalah selamat kerana aktiviti ini dapat dilakukan pada waktu malam.

“Ini juga usaha berterusan kita untuk merapatkan hubungan antara PDRM dan masyarakat sekitarnya,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang semalam.

Turut sama ialah Ketua Bahagian Trafik Daerah ASP Khairul Ridzuan Ahmad, Pemilik Duckhems Car Service Centre Sdn Bhd Limbang, Chua Eng Hin.

Program yang memasuki edisi kedua penganjurannya itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Residen Limbang, Duckhems Car Service Centre Sdn Bhd Limbang, Kelab Berbasikal Limbang dan Lina Fitness Zone.

Katanya lagi seramai lapan anggota trafik diketuai Asp Khairul akan mengawal lalulintas sepanjang larian itu diadakan dengan sasaran penyertaan lebih 300 orang.

“Larian terbahagi kepada dua kategori membabitkan 7.5 kilometer dan 3.5 kilometer,”katanya.

Selain orang ramai, larian itu juga akan disertai anggota PDRM sendiri dan Amanita Limbang.

Jelasnya program itu dijalankan hasil maklumbalas positif dan sambutan memberangsangkan masyarakat di daerah ini terhadap aktiviti berbentuk sihat dan kecergasan.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mempolitikkan program itu yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara masyarakat dan anggota polis.