Buemi sedia ‘takluk’ Putrajaya

Buemi sedia ‘takluk’ Putrajaya

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) – Pemandu Switzerland, Sebastien Buemi mahu mengulangi kejayaannya di Beijing apabila beraksi di pusingan kedua perlumbaan kereta Kejohanan Formula E FIA – ePrix Putrajaya, esok.

Bueimi, pemandu pasukan Renault e.Dams menjadi peserta pertama dalam siri perlumbaan ini yang melakukan grand slam dengan menjuarai perlumbaan, mendapat petak pertama serta melakukan catatan terpantas sepusingan bagi membolehkannya mengumpul 30 mata.

“Sudah tentu sasaran saya adalah untuk mengulangi pencapaian di Beijing. Perlumbaannya cukup sukar dan kami tidak menjangka dapat menguasainya. Bagi ePrix Putrajaya, saya akan melakukan yang terbaik. Saya harap pasukan ini mampu menakluki litar ePrix Putrajaya dan mengumpul lebih mata bagi musim ini.

“Cuaca di sini cukup berbeza dari Beijing dan kami tidak tahu bagaimana tindak balas bateri atau tenaga tambahan dalam suhu panas di sini tetapi saya akan melakukan yang terbaik dalam perlumbaan esok,” kata Buemi kepada Bernama.

Mengulas mengenai enjin kenderaannya, Buemi yang menduduki tangga ketiga di ePrix Putrajaya tahun lepas berkata mereka mengekalkan enjin sama yang digunakan di Beijing yang sememangnya berbeza daripada tahun lalu, kerana ia memberikan lebih kuasa.

Gambar fail menunjukkan Sebastien Buemi mengucup piala dimenanginya pada Kejohanan Formula E FIA – ePrix Beijing.
Gambar fail menunjukkan Sebastien Buemi mengucup piala dimenanginya pada Kejohanan Formula E FIA – ePrix Beijing.

Juara bertahan ePrix Putrajaya, Sam Bird dari United Kingdom percaya tidak mustahil untuk dirinya mengecapi satu lagi kejayaan di sini walaupun mengakui berdepan saingan sengit terutama daripada Buemi.

“Untuk menang sememangnya sukar tetapi ia bukan mustahil. Saya akan bekerja keras mengatasi masalah kereta ini dan saya akui Buemi adalah pencabar utama saya musim ini. Namun keputusan pasti bergantung kepada cuaca. Jika hujan, ia mampu memberi kesan kepada keputusan perlumbaan.

“Kami memerlukan lebih banyak perlumbaan untuk menentukan pasukan mana yang menguasai musim ini. Saya harap pasukan kami dapat melakukan yang terbaik untuk memastikan muncul juara di penghujung musim. Kami perlukan lebih banyak perlumbaan dan sudah pasti kami mampu meningkat,” kata Bird.

Tahun lepas, Bird yang mewakili pasukan Virgin, menjuarai perlumbaan di sini selepas mengatasi Lucas Di Grassi dan Buemi yang masing-masing ketinggalan empat dan lima saat.

Dalam edisi kedua perlumbaan di sini, pemandu akan memandu sebanyak 33 pusingan di litar sejauh 2.560 kilometer, lebih dua pusingan daripada tahun lepas.

Kejohanan membabitkan 10 pasukan dengan dua pemandu setiap satu, bermula di Beijing 24 Okt lepas dan akan berakhir di London pada 6-7 Julai tahun depan.