Bufet makanan laut di Anjung Saujana

Bufet makanan laut di Anjung Saujana

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Restoran Anjung Saujana, yang merupakan anak syarikat Royal Brunei Catering (RBC) kini menawarkan bufet makanan laut yang segar dengan tema ‘Seafood Night Bufet’.

Bufet yang hanya ditawarkan pada malam minggu dan cuti awam dari pukul 7 hingga 10 malam ini, mengetengahkan makanan laut seperti udang, kupang, tiram, kekapis serta pilihan susyi termasuk sasyimi, maki dengan perasa, ubur-ubur, edamame dan chuka wakame.

Di kaunter makanan laut dan susyi sejuk menawarkan hidangan utama yang disajikan di atas ais dan disertakan dengan pelbagai perasa seperti hirisan lemon, sambal belacan, celupan sos cili Thai, celupan mayones, bawang putih dan tabasco.

Antara hidangan bufet makanan laut yang disajikan di Anjung Saujana.
Antara hidangan bufet makanan laut yang disajikan di Anjung Saujana.

Sementara itu, di bahagian makanan panas pula, pelanggan boleh menikmati kari kepala ikan salmon, ketam masak cili, ikan hoki panggang bersama salsa nenas dan sup mentega lemon serta mi goreng makanan laut.

Apa yang menarik di sana, pelanggan juga boleh menikmati makanan laut yang sedia dipanggang antaranya ikan pari, sotong dan tiram yang disertakan bersama pilihan kicap pedas, air asam, air asam tomato serta cili udang kering.

ARTIKEL YANG SAMA