Buffon muncul wira Juventus

Buffon muncul wira Juventus

MILAN, 25 April – Gianluigi Buffon mempamerkan aksi yang mantap apabila menyelamatkan penalti Nikola Kalinic pada minit akhir perlawanan bagi membantu pendahulu, Juventus untuk bakal menyamai rekod kelima gelaran berturut-turut Serie A dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Fiorentina, semalam.

Juventus mampu merangkul gelaran kelima berturut-turut dalam liga tertinggi Itali jika pasukan tempat kedua, Napoli gagal menewaskan AS Roma dalam saingan di Stadio Olimpico, esok.

Tetapi menerusi pemerhatian selepas perlawanan di Florence, di mana Massimiliano Allegri dijulang ke udara oleh pemainnya, ia kini hanya menanti masa sebelum Juve dimahkotakan sebagai juara buat kali kelima.

Namun pada permainan di Stadio Artemio Franchi yang tidak menentu, Alvaro Morata menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-83 selepas Kalinic menjaringkan gol penyamaan buat Fiorentina.

Sebelum itu Juve menjaringkan gol pembukaan menerusi Mario Mandzukic pada minit ke-39.

Buffon ketika menyelamatkan sepakan penalti daripada pihak lawan. - AFP
Buffon ketika menyelamatkan sepakan penalti daripada pihak lawan. – AFP

Buffon kemudian menghalang sepakan penalti pemain Croatia itu pada minit akhir perlawanan selepas dia dikasari Juan Cuadrado.

Davide Astori bagaimanapun berpeluang menambah jaringan pada masa kecederaan, namun tandukan pemain Itali itu diselamatkan Buffon.

Juve mencatatkan 27 kemenangan dalam 35 perlawanan memberikan gergasi Turin itu mengumpul 85 mata, 12 mata di depan Napoli menjelang kunjungan ke Stadio Olimpico apabila Gonzalo Higuain yang menjaringkan 30 gol akan kembali menyertai pasukan selepas digantung tiga perlawanan.

Allegri berkata minggu lalu dia akan gembira menyaksikan Juve dimahkotakan kejuaraan di televisyen jika Roma menewaskan Napoli dalam perlawanan esok. – AFP