Buhari rapat hubungan dengan Perancis

Buhari rapat hubungan dengan Perancis

ABUJA, 13 Sept (AFP) – Presiden Muhammadu Buhari sedang mencari peluang merapatkan hubungan dengan Perancis, termasuk dalam bidang keselamatan, ketika Nigeria dan negara jirannya berusaha menentang Boko Haram, menurut pejabatnya hari ini.

Presiden yang berusia 72 tahun itu akan berada di Paris selama tiga hari bermula Isnin berikutan undangan dari rakan sejawatan Perancis, Francois Hollande, kata jurucakap Buhari, Femi Adesina dalam kenyataan e-mel.

Rombongannya yang turut sama menyertai lawatan rasmi itu termasuk penasihat keselamatan negara, mejar jeneral bersara Babagana Monguno, para pegawai kanan dalam jabatan pertahanan, kewangan dan luar negeri.

Buhari akan bertemu Hollande pada malam Isnin dan mengadakan rundingan bersama Menteri Pertahanan Jean-Yves Le Drian, Menteri Luar Negeri, Laurent Fabius dan para pegawai kanan kerajaan lainnya, kata Adesina.

Lawatan itu ‘akan memfokuskan ke atas memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Nigeria dan Perancis dalam bidang pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan,” tambahnya.

Mesyuarat bersama ketua-ketua minyak Perancis, Total dan pembekal konkrit, Lafarge, kedua-duanya yang mempunyai operasi di Nigeria, juga akan dirancang, ketika mesyuarat dengan duta Afrika di Paris.