Bujang Senang tetap layan Perak di stadium kosong

Bujang Senang tetap layan Perak di stadium kosong

KUCHING, 15 Okt – Saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan B antara Sarawak dan Perak pada Sabtu ini kekal diadakan tanpa kehadiran penonton di Stadium Negeri, Petra Jaya, di sini.

Ini berikutan rayuan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terhadap hukuman bermain dua perlawanan tanpa penyokong di gelanggang sendiri ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata FAM hanya menerima rayuan terhadap hukuman denda RM80,000 yang dikenakan terhadap persatuan itu ekoran tindakan liar penyokong di stadium berkenaan sebelum ini.

Biarpun bermain di stadium kosong, katanya skuad Bujang Senang akan berjuang sepenuhnya untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan itu untuk memburu slot ke saingan suku akhir.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau mengingatkan penyokong Sarawak untuk kembali semula ke Stadium Negeri apabila pasukan tuan rumah melayan kunjungan pendahulu kumpulan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Okt ini.

Skuad Bujang Senang kendalian jurulatih sementara, David Usop kini berada di tangga ketiga kumpulan dengan mengutip tiga mata hasil satu menang dan sekali kalah.

Pada September lepas, FAS dikenakan denda RM80,000 selain bermain dua perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri oleh FAM kerana didapati bersalah melanggar Artikel 25 Kod Tatatertib FAM 2015.

Kesalahan itu, jelas FAM diputuskan selepas penyokong Sarawak bertindak membakar dan melontar mercun, suar dan bom asap ke kawasan persekitaran padang selain merosakkan kenderaan polis dan membaling batu ke bas pasukan pelawat pada tiga perlawanan berbeza di stadium berkenaan.

Perlawanan berkenaan adalah aksi Piala Malaysia 2014 antara Sarawak dan Perak pada 30 Ogos 2014, selain dua perlawanan Liga Super membabitkan Sarawak berdepan Perak pada 20 Jun lepas serta Sarawak menentang Felda United, seminggu kemudian. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA