Buka ladang kurma di Kelantan

Buka ladang kurma di Kelantan

PASIR PUTEH, 9 Ogos (Bernama) – Safawi Agro Farm Bhd memperuntukkan antara RM3 juta dan RM4 juta bagi membuka ladang tanaman kurma di kawasan seluas 400 hektar di negeri ini.

Pengurus syarikat itu, Mohd Rozaman Yahya berkata dalam tempoh terdekat ini, kawasan seluas 300 hektar di Cherang Tuli, Pasir Puteh dan Ulu Sat, Machang akan mula ditanam dengan pokok kurma.

“Kawasan yang dikenal pasti itu sesuai dengan tanaman kurma dan diakui oleh pakar-pakar mengenainya kerana ia mengandungi tanah berpasir dan tidak digenangi air apabila musim hujan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tanaman Kurma di Cherang Tuli oleh anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising Zulkifli Ali, hari ini.

Mohd Rozaman berkata pihaknya menjangkakan memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000 setiap pokok semusim atau setahun dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau berkata syarikatnya turut menjalin usaha sama dengan Date Palm Safawi Asia Bhd, yang berpangkalan di China, terutama dalam membekalkan anak benih pokok kurma yang bermutu.

Sementara itu, Zulkifli ketika berucap pada majlis berkenaan berkata tanaman pokok kurma itu akan dijadikan sebagai projek perintis untuk dikembangkan ke seluruh Kelantan, terutama di kawasan tanah beris. Beliau berkata Kelantan mempunyai banyak kawasan tanah beris terbiar selepas tanaman tembakau tidak lagi diusahakan petani.

ARTIKEL YANG SAMA