Buka ruang golongan muda sertai MMN

Buka ruang golongan muda sertai MMN

BULAN Mac setiap tahun akan menyaksikan Majlis Mesyuarat Negara memulakan sidang di Bangunan Majlis Mesyuarat Negara di Jalan Kebangsaan, dengan kehadiran  Yang Berhormat Speaker Dewan, Menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dilantik serta hadirin, sama ada yang dijemput ataupun berkeinginan menyaksikan prosiding.

Setelah pernah menghadirinya tiga tahun berturut-turut, banyak yang hadir merasa perlu ada perubahan yang agresif dan dinamik yang patut dilaksanakan untuk menjadikan Majlis Mesyuarat Negara lebih produktif dan menarik untuk dihadiri apatah lagi diamat-amati.

Sebelum mengenal pasti faktor apakah yang perlu diselitkan, kita sentuh dahulu satu kegiatan yang sering dianjurkan dan dilaksanakan oleh Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum setiap tahun. Kegiatan ini dilaksanakan dengan harapan para pelajar kita akan kelak menjadi individu-individu yang mahir dalam pengucapan awam, petah dalam mewujudkan hujah-hujah serta mengutarakan sokongan dan bidasan yang boleh mempengaruhi sesiapa sahaja.

Kegiatan yang berbentuk pidato dan debat ini dilaksanakan dalam Bahasa Melayu selama 43 tahun berturut-turut dan Bahasa Inggeris selama 19 tahun dan alumni yang sudah terbentuk telah dan sedang bertugas sama ada di bahagian perundangan sebagai peguam mahupun di bidang pengucapan awam sebagai pensyarah, penceramah ataupun ahli forum. Kini sudah tiba masanya kebolehan, pengalaman dan kemahiran alumni ini diketengahkan dalam Majlis Mesyuarat Negara sesegeranya.

Pada hakikatnya banyak isu yang perlu diperdebatkan walaupun negara kita kecil dan mempunyai penduduk seramai lebih daripada 430,000 orang.

Sebagai sebuah negara yang membangun, ada kalanya projek-projek atau langkah yang diambil menimbulkan kontroversi mahupun kekeliruan daripada beberapa pihak yang boleh saja menimbulkan ketegangan malah perselisihan faham yang serius.

Namun begitu, isu-isu yang berkenaan boleh saja diperdebatkan secara aman, lantang dan produktif dengan menghasilkan saranan-saranan atau penyelesaian. Contohnya isu penggunaan tanah sama ada untuk pertanian ataupun perumahan. Contoh yang lain pula ialah isu mengenai pengurangan subsidi secara beransur-ansur barang asasi seperti minyak, beras dan gula khusus bagi masa depan ekonomi negara. Banyak lagi isu yang boleh difikirkan bernas dan wajar untuk diperdebatkan.

Untuk melaksanakan debat ini, wajar kita membuka ruang kepada golongan baru, muda dan lebih aktif untuk menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara dengan sumbangan ilham serta cadangan mereka yang boleh diguna-pakai. Renungkanlah. – Pemerhati Prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA