Buka ruang seluasnya untuk OBK

Buka ruang seluasnya untuk OBK

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 Mei – Pelajar-pelajar dalam kalangan Orang Berkeperluan Khas (OBK) perlu diberikan sokongan dengan membukakan ruang pekerjaan, supaya mereka juga berpeluang hidup seperti masyarakat lainnya, mempunyai mata pencarian sendiri tanpa hanya berharap menerima bantuan semata-mata.

Pegawai Pusat Bahagia Eric Goh Kuala Belait, Dayang Winnieyanti binti Haji Sunny, hari ini, melahirkan rasa kecewanya, kerana menurutnya masih terdapat segelintir syarikat-syarikat yang enggan memberikan peluang mencuba kebolehan pelajar-pelajar OBK, sebaliknya terus memberikan alasan tiada pekerjaan sesuai bagi mereka.

Beliau ketika bercakap kepada Media Permata, turut melahirkan kekecewaannya, apabila mendapat tahu terdapat juga kalangan pelajar-pelajar OBK yang bekerja di luar sana, dipandang rendah oleh pekerja-pekerja lainnya, hanya kerana mereka itu orang-orang istimewa.

“Saya harap pelajar-pelajar OBK diberikan sokongan moral, kerana mereka sebenarnya mampu berusaha, jika mereka diberikan peluang, terutama sekali mereka yang pernah ditempatkan di bahagian Latihan Industri di pusat kami,” katanya.

Bagaimanapun beliau merakamkan penghargaan kepada Syarikat Bengkel Hock Siong Hin yang telah datang sendiri ke Pusat Bahagia Eric Goh, untuk menawarkan pekerjaan dan telah menghantar seramai empat orang dalam kalangan pelajar-pelajar mereka bermula bulan September lalu.

Pelajar OBK itu didapati lebih rajin, disiplin dan melakukan kerja dengan baik, dan mampu membuat majikannya gembira dan berpuas hati.
Pelajar OBK itu didapati lebih rajin, disiplin dan melakukan kerja dengan baik, dan mampu membuat majikannya gembira dan berpuas hati.
Empat pelajar Berkeperluan Khas,Awang Lufti Hussin, 31, Awang Mohd Faizal, 35, Awang Helmi As-mirory, 23, dan Awang Chan Shih Ching (Billy), 31,kini diambil bekerja sepenuh masa setelah mampu membuktikan mereka boleh bekerja seperti pekerja lainnya.
Empat pelajar Berkeperluan Khas,Awang Lufti Hussin, 31, Awang Mohd Faizal, 35, Awang Helmi As-mirory, 23, dan Awang Chan Shih Ching (Billy), 31,kini diambil bekerja sepenuh masa setelah mampu membuktikan mereka boleh bekerja seperti pekerja lainnya.

Empat pelajar tersebut,Awang Lufti Hussin, 31, Awang Mohd Faizal bin Mohd Yusof, 35, Awang Helmi Asmirory bin Lanjar, 23, dan Awang Chan Shih Ching (Billy), 31, pada mulanya di bawah pekerja latihan sahaja, tetapi bermula daripada 1 April lalu sudah menjadi pekerja tetap di syarikat terbabit, dan dengan gaji sejumlah $17.00 sehari termasuk dibayar kerja lebih masa.

Pengurus Operasi Syarikat Bengkel Auto Hock Siong Hin, Pengiran Aki Ibrahim semasa ditemui di pejabatnya hari ini, memberitahu, pada tahun lalu, syarikat mereka membuat pembaharuan strategi untuk memperbanyakkan pengambilan pekerja dalam kalangan anak-anak tempatan.

Usaha itu dilakukan dengan menghubungi Agensi Kemajuan Pekerja Tempatan, Pusat Belia, serta mengiklankan kerja kosong dan sebagainya, untuk mendapatkan tindakbalas daripada belia-belia tempatan yang masih mencari pekerjaan.

“Timbul dalam fikiran kami untuk cuba membukakan peluang kepada pelajar-pelajar OBK lalu pergi ke Pusat Bahagia Eric Goh dan menawarkan kekosongan di bengkel kami, di samping membanyakkan pekerja tempatan, usaha itu juga adalah sebagai sebahagian kerja-kerja kemasyarakatan, dan pada mulanya kami hanya memberikan percubaan, tiada komitmen, seperti kontrak dan sebagainya,” katanya.

Tetapi menurutnya, setelah diberikan latihan dan percubaan, amat memeranjatkan apabila mendapati empat pelajar berkenaan sangat rajin, datang tepat waktu dan boleh melakukan tugas yang diberikan dengan penuh efisen dan bertenaga.

“Mereka mula bekerja dalam latihan sejak tiga bulan, bermula September hingga Disember, dengan kerja-kerja ringan diberikan seperti mencuci kereta, selain memberikan mereka latihan kerja-kerja ringan lainnya seperti menukar tayar, memeriksa bateri kereta, kemudian ditambah lagi selama tiga bulan, tetapi nampaknya mereka lebih minat kepada kerja-kerja mencuci kereta,” tambah Pengiran Aki Ibrahim.

Melihat keupayaan yang luar biasa daripada pekerja OBK tersebut, syarikat berkenaan mengambil keempat-empat pelajar itu untuk bekerja sepenuh masa bermula April lalu, dan memandangkan mereka juga perlukan pendapatan lebih daripada itu, syarikat juga akan menaikkan gaji mereka, tambahan lagi salah seorang daripada mereka akan melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan.

“Bengkel kami telah memberhentikan khidmat cuci kereta memandangkan pekerja-pekerja tempatan yang terdahulu tidak kekal bekerja, tetapi sejak awal tahun ini, kami telah memulakan semula khidmat cuci kereta dengan mengenakan bayaran $3.00 kepada pelanggan yang datang untuk membuat servis enjin dan tukar minyak, ini juga adalah bagi membantu menaikkan gaji kepada pekerja-pekerja di kalangan pelajar OBK itu,” ujarnya.

Syarikat itu masih membukakan ruang kepada pelajar-pelajar Pusat Bahagia Eric Goh yang berminat untuk bekerja dengan mereka.

Menurut Dayang Winnieyanti, selain bekerja di bengkel itu, terdapat juga pelajar mereka yang sudah bekerja di hotel-hotel, kedai runcit dan juga sebagai pembersih.

ARTIKEL YANG SAMA