Bukan balas dendam – Rodriguez

Bukan balas dendam – Rodriguez

SANTIAGO, 16 Jun (Reuters) – Colombia bukan turun beraksi untuk membalas dendam apabila mereka menghadapi Brazil pada Copa America esok selepas tewas kepada Selecao dalam Piala Dunia tahun lalu, perancang permainan Colombia James Rodriguez berkata semalam.

“Bukan balas dendam. Ia Cuma satu lagi pertembungan kami dan saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang menarik,” kata Rodriguez yang menjadi sebahagian daripada pasukan yang kalah 2-1 kepada Brazil pada suku akhir Piala Dunia.

“Neymar bermain amat baik tetapi mereka perlu beraksi dengan lebih bagus untuk mengalahkan Colombia.”

Perlawanan tahun lepas adalah suatu pertemuan yang tidak selesa. Rodriguez mendapat layanan kasar daripada pemain Brazil dan Neymar pula dibawa keluar dengan pengusung di Fortaleza selepas retak tulang belakang, sekali gus mengakhiri aksi Piala Dunia pertama beliau.

Colombia melangkah ke perlawanan Rabu ini dan memerlukan kemenangan selepas tewas 1-0 kepada Venezuela dalam aksi pembukaan Copa Amerika Ahad lalu.

“Saya fikir ia akan menjadi permainan yang lebih terbuka dengan Brazil dan mereka akan memberikan kami lebih banyak ruang,” kata Rodriguez.

“Mereka boleh membuat beberapa perkara dalam serangan dan itu juga seharusnya membuka ruang untuk kami menyerang. Mereka bermain dan membenarkan lawan mereka untuk bermain.”

Persembahan menakjubkan Rodriguez di Brazil tahun lepas membantu perpindahan beliau ke Real Madrid. Midfield Colombia ini kelihatan mengalami sakit di bahunya pada peringkat akhir perlawanan menentang Venezuela tetapi berkata semuanya sudah OK.

“Tiada apa-apa yang serius,” katanya. “Saya bimbang kerana saya merasakan bahu saya sakit tetapi tiada apa-apa yang serius.”