Bukan MH370

Bukan MH370

PUTRAJAYA, 26 Jan – Serpihan dijumpai di pantai di selatan Thailand pada Sabtu tidak sepadan dengan bahagian pesawat Boeing 777 atau pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang hampir dua tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Beliau berkata susulan berita tentang penemuan serpihan itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menghubungi pihak berkuasa Thailand serta pasukan penyiasat relevan lain berhubung perkara itu.

Pasukan Malaysia terdiri daripada pegawai DCA, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines, dengan kerjasama pegawai DCA Thailand, telah memeriksa serpihan itu untuk menentukan ia daripada pesawat jenis apa.

“Daripada laporan terperinci mereka, mereka telah mengenal pasti bahawa nombor siri, nombor pada gulungan wayar dan nombor pada punat pada serpihan itu tidak sepadan dengan Boeing 777.

Nombor-nombor yang terdapat pada serpihan itu juga tidak tersenarai dalam manual Katalog Alat Ganti Ilustrasi MAS B777.

“Berdasarkan butiran itu, pasukan berkenaan mengesahkan serpihan itu bukan daripada pesawat B777 9M-MRO (MH370),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Sabtu, penduduk kampung yang tinggal di kawasan pantai di wilayah selatan Thailand itu melaporkan penemuan objek logam besar berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang, yang dipercayai daripada bangkai pesawat.

Penemuan serpihan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan media yang mengaitkannya dengan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Pesawat MH370 masih belum dijumpai walaupun selepas operasi pencarian besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, tempat ia dipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal.

Liow dalam kenyataan itu mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Thailand dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand atas tindakan segera dan bantuan dalam mempermudah dan melancarkan proses untuk mengenal pasti serpihan itu.

“Doa dan ingatan kami terus bersama-sama dengan keluarga dan orang tersayang kepada penumpang dan anak kapal MH370. Kami akan terus memberikan perkembangan terkini mengenai MH370 kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal.

“Kami (kerajaan) akan meneruskan misi pencarian yang sedang dijalankan di selatan Lautan Hindi,” kata Liow.

Pada 29 Julai tahun lepas, flaperon dijumpai di Pulau La Reunion, pulau kecil milik Perancis di Lautan Hindi, dihantar ke Perancis untuk dianalisis. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA