Bukan mudah banteras penculikan 100 peratus

Bukan mudah banteras penculikan 100 peratus

KOTA KINABALU, 3 April (Bernama) – Usaha untuk menghapuskan seratus peratus aktiviti penculikan serta jenayah rentas sempadan lain di kawasan perairan Sulu Zone (Laut Sulu), termasuk di kawasan perairan Malaysia, bukan tugas mudah, kata Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Keselamatan (SASSREC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman.

Katanya ini adalah kerana aktiviti penculikan dan jenayah di kawasan perairan berkenaan bukan perkara baharu sebaliknya telah berlaku sejak kerajaan Kesultanan Sulu dan empayar Brunei lagi memandangkan kawasan itu merupakan antara laluan perdagangan utama antara timur dan Eropah.

“Dari segi sejarah, di kawasan yang dinamakan ‘Sulu Zone’, penculikan bukanlah perkara yang baharu. Ia semacam satu ‘perdagangan’ pada era Kesultanan Sulu dan empayar Brunei kerana Sulu Zone ini ialah wilayah perdagangan yang menemukan pedagang-pedagang dari China, Eropah dan sebagainya.

“Kalau kita lihat, kita sebenarnya berhadapan dengan perubahan tingkah laku para penculik ini. Mereka juga berkembang seiring dengan kemajuan teknologi, seiring dengan respons yang diambil pihak berkuasa. Apabila pihak berkuasa perketat penguatkuasaan, mereka juga mengambil langkah untuk mengatasi kawalan itu,” katanya kepada Bernama.

Dr Zaini berkata demikian sebagai mengulas insiden penculikan empat rakyat Malaysia di kawasan perairan Pulau Ligitan, kira-kira jam 6.15 petang, Jumaat lalu.