Bukan Perang Dunia III – Obama

Bukan Perang Dunia III – Obama

WASHINGTON, 13 Jan (Reuters) – Presiden Barack Obama menuduh pengkritiknya bahawa mereka memasuki jerat IS apabila membandingkan tindakan memerangi kumpulan militan itu dengan Perang Dunia Ketiga.

Dalam ucapan tahunan kepada Kongres untuk kali terakhir sebagai Presiden Amerika Syarikat, Obama juga berkata adalah satu khayalan untuk mengisytiharkan Amerika berdepan kemerosotan ekonomi atau semakin lemah di peringkat antarabangsa, biarpun dicemuh retorik calon Republikan yang mengidam untuk menggantinya selepas pilihan raya 8 November.

“Pejuang berani mati di dalam trak pikap dan jiwa terpesong yang merancang serangan dalam pangsapuri atau garaj untuk menimbulkan bahaya kepada orang awam mesti dihentikan. Tapi mereka tidak mengancam kewujudan kita,” kata Obama.

Obama menyampaikan ucapan tahunan kepada Kongres di Washington. – Reuters
Obama menyampaikan ucapan tahunan kepada Kongres di Washington. – Reuters

“Itu adalah cerita yang ISIL (IS) mahu sampaikan, itulah jenis propaganda yang mereka gunakan untuk merekrut anggota baharu.

“Kita tidak perlu mengangkat mereka bagi menunjukkan kita serius, juga tidak perlu menyisihkan rakan sekutu yang penting dalam usaha ini dengan mengulangi penipuan ISIL bahawa ia mewakili satu daripada agama terbesar dunia,” katanya.

Obama membalas kritikan Republikan terhadap strategi beliau terhadap IS dan gesaan calon utama Republikan, Donald Trump supaya larangan dikenakan terhadap orang Islam daripada memasuki AS.