’Bukan selarah-larah menolak bidaah’ – Mufti Kerajaan

’Bukan selarah-larah menolak bidaah’ – Mufti Kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Tiga perkara yang dikatakan bidaah iaitu menyapu muka selepas memberi salam selesai sembahyang, mengangkat tangan sambil mengaminkan doa imam selepas sembahyang dan bersalam-salaman setelah doa selesai menunaikan sembahyang diulas oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semalam.

Dalam Ceramah Khas Takmir Masjid dan Penyampaian Surat Lantikan Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda ’Abdul Mateen, Yang Berhormat Pehin menyatakan isu tersebut pernah disentuh oleh seorang penceramah di sebuah masjid dan ia mempengaruhi beberapa jemaah.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, menurut penceramah itu, ia adalah bidaah kerana tidak pernah wujud dalam hadis, tidak pernah dibuat oleh Nabi S.A.W. sedangkan bidaah mesti ditolak, kerana semua bidaah itu adalah sesat.

Namun tanggapan tentang bidaah ini diambil daripada riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi yang bermaksud, “Dan jauhilah oleh kamu perkara-perkara baru (yang tidak di-sebut oleh Al-Quran atau Hadis ), kerana tiap-tiap perkara baru itu bidaah, dan tiap-tiap bidaah adalah sesat.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, “Pada zahir riwayat ini memang membawa makna: segala perkara baru yang tidak disebut oleh Al-Quran atau Hadis itu, adalah kesemuanya bidaah, ditolak dan sesat. Apa betulkah begitu? Tidak adakah sebarang ulasan ulama mengenainya?

Mufti Kerajaan semasa menyampaikan ceramah khas di Masjid Pengiran Muda ’Abdul Mateen, Kampung Mulaut.
Mufti Kerajaan semasa menyampaikan ceramah khas di Masjid Pengiran Muda ’Abdul Mateen, Kampung Mulaut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

“Jawabnya ada, kerana itu tunggu, jangan lekas-lekas membuat rumusan dangkal. Buka minda terlebih dahulu dengan melihat pandangan atau ulasan-ulasan ulama mengenainya,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan bahawa ulama itu adalah suluh, penafsir Al-Quran, penafsir al-Hadis , dan tanpa ulama kita akan terus meraba-raba.

Menurutnya, Al-Quran padat dengan ilmu, tetapi tanpa ulama, ilmu Al-Quran tidak akan tersingkap, dan hadis juga padat dengan ilmu, tetapi tanpa ulama, ilmu hadis tidak akan terhurai.

Sepotong ayat atau sebuah hadis, katanya kadang-kadang adalah ilmu selautan, begitulah dengan sebuah hadis bidaah, ia cuma satu baris dalam ungkapan, tetapi huraian ulama mengenainya boleh jadi sebuah buku atau sebuah kitab.

“Apakah ini sudah dilihat oleh penceramah sebelum menyampaikan ceramahnya mengenai bidaah? Apakah sudah dibacanya pendapat-pendapat atau huraian-huraian para ulama Ahli Sunnah Wal-Jama’ah mengenai bidaah?

“Sudahkah dilihatnya qaul Imam asy-Syafi’e, qaul Imam an-Nawawi, qaul Imam Ibn Hajar al-’Asqalani, qaul Imam ’Izuddin ’Abdul Aziz bin Abdussalam dan lain-lain?” soal Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin, semua ulama berkenaan itu telah sepakat berpendapat bahawa bidaah itu terbahagi kepada dua: pertama, Bidaah Hassanah, iaitu sesuatu yang baru direka atau diadakan selepas zaman Nabi Muhammad S.A.W, yang tidak diketahui sama ada ia pernah wujud atau dibuat oleh Baginda, tetapi asasnya adalah bagus atau baik dan pada timbangan syarak tidak menyalahi Al-Quran atau Hadis atau atsar para sahabat atau ijmak ulama Islam.

Maka bidaah seperti ini dinamakan ia oleh para ulama sebagai “Bidaah Hasannah” atau “Bidaah Mahmudah” (bidaah yang terpuji). Kedua ialah Bidaah Sayyiah iaitu bidaah yang buruk, yang dibuat selepas zaman Nabi S.A.W yang tidak diketahui sama ada pernah wujud atau pernah dibuat di zaman Baginda.

Tetapi asasnya kedapatan tidak bagus atau tidak baik dan malah menyalahi dalil Al-Quran atau Hadis atau atsar para sahabat atau ijma’ ulama Islam. Kalau ada salah satu ciri-ciri seperti ini, inilah Bidaah Sayyiah (bidaah yang buruk) menurut ulama atau dipanggil juga bidaah Dhalalah (bidaah yang sesat). Bidaah ini wajib dihindari. Ini jenis bidaah yang masuk di bawah amaran Rasulullah Shallallahu ’Alaihi Wasallam.

Jadi, tegas Yang Berhormat Pehin bukan selarah-larah menolak bidaah. Lihat dulu apa asas dan cirinya. Adakah asas dan cirinya itu baik atau buruk, cantik atau hodoh? Timbang ia dengan timbangan syarak iaitu menurut Al-Quran, Sunah atau atsar para sahabat atau Ijmak para ulama Islam.

Menurutnya, mesti dilihat keempat-empat ini, dan jangan mengambil mudah dengan melihat Al-Quran dan Hadis semata-mata tanpa perlu melihat atsar sahabat dan ijmak ulama.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata bahawa adalah tidak wajar bagi kita mengabaikan ulama kerana mereka adalah guru sepanjang zaman; dan tentang bidaah, di samping kita merujuk Hadis Nabi S.A.W, kita juga perlu melihat pendapat-pendapat para ulama mengenainya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, tiga perkara yang disebutkan oleh penceramah itu telah biasa dibuat di Brunei sejak dahulu lagi, dan masyarakat khasnya orang tua-tua telah mesra dengan amalan itu dan menganggapnya sebagai satu amalan yang bagus sehingga tidak terbayang langsung untuk menjadikannya sebagai isu bidaah.

Membincangkan kembali satu persatu isu tersebut, dalam perkara menyapu muka selepas memberi salam, Yang Berhormat Pehin mengajak kita bersama-sama dengan al-Alamah Abu Bakar bin As-Said Muhammad Ad-Dimyaathi pengarang kitab I’aanah ath-Thaalibin yang telah memetik perkataan al-Imam an-Nawawi seperti berikut, (maksudnya): “Kami telah menerima riwayat dalam kitab Ibnu Sunni daripada Anas radhiallahu ’anhu, bahawa Rasulullah S.A.W apabila selesai menunaikan sembahyang, Baginda itu menyapu wajah baginda dengan tangan kanan baginda, kemudian berkata, (maksudnya): “Aku naik saksi, tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Ya Allah, hilangkanlah daripadaku perasaan bimbang dan dukacita.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa menurut an-Nawawi daripada sahabat Anas radhiallahu ’anhu, bahawa perbuatan menyapu muka selepas memberi salam itu adalah dibuat oleh Nabi dan perbuatan Nabi.

Mengenai dengan isu mengaminkan doa imam, Yang Berhormat Pehin seterusnya mengajak kita membuka kitab Fathul Mu’in Bi Syarah Qurratul ’Aini karangan al-Alamah Zainuddin bin ’Abdul ’Aziz al-Malibari, katanya: “Dan (sunat) bagi makmum mengaminkan doa imam jika dia (makmum) mendengarnya walaupun makmum itu telah hafaz doa tersebut”.

Menurut Yang Berhormat Pehin, perkataan ‘makmum mengaminkan’ itu disyarahkan atau dihuraikan pula oleh al-’Alamah Abu Bakar bin As-Said Muhammad ad-Dimyaathi, katanya (ertinya): “Dan disunatkan makmum mengaminkan doa imam jika ia mendengarnya dan kalau makmum tidak mendengarnya, dia berdoalah sendiri.”

Berhubung dengan bersalam-salaman selepas selesai sembahyang pula, Yang Berhormat Pehin menjelaskan al-Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyebut di dalam kitabnya al-Azkar, “bahawa bidaah itu ada lima macam, iaitu: pertama bidaah yang diwajibkan, kedua, bidaah yang diharamkan, ketiga, bidaah yang dimakruhkan, keempat, bidaah yang disunatkan, dan kelima,bidaah yang diharuskan (dibolehkan). Di antara bidaah yang dibolehkan itu ialah berjabat tangan (bersalam-salaman) selepas selesai sembahyang.”

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa berkata an-Nawawi rahimahullah lagi dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab sebagai menukil pendapat Imam Muhammad bin Abdussalam, bahawa adapun berjabat tangan yang biasa dilakukan selepas sembahyang Subuh dan Asar adalah antara bidaah yang dibolehkan, tidak disifatkan ia makruh dan sunat. Namun tidaklah mengapa, kerana asal berjabat tangan itu adalah sunat, khusus dalam keadaan tertentu.

“Ini cara para ulama melihat masalah, bukan setakat menghukumkan bidaah semata-mata dan kemudian membiarkan orang ramai teraba-raba, boleh buat atau tidak boleh buat? Tetapi mereka mengupas dengan cara mendalam sehingga benar-benar dapat difahami untuk kita pakai,” tegasnya.

Oleh itu, tambahnya dalam isu bidaah ini, kaji dan fahamkan dahulu ta’rif bidaah itu, dan lihat pendapat ulama mengenainya.

Yang Berhormat Pehin turut mengajak umat Islam supaya tidak terburu-buru menerima pendapat-pendapat baharu. Katanya, timbang-timbang dan lihat-lihat dahulu dan jika difikirkan perlu, boleh bertanya kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Brunei sudah cukup bagus, tidak perlu lagi untuk mengada-adakan khilaf atau pertelingkahan sesama kita, dan apa yang telah diamalkan sejak berkurun-kurun yang kita ambil atau terima daripada para ulama Ahli Sunnah Wal-Jama’ah, itulah yang terbaik. Kita beramallah dengan ini, dengan niat baik untuk mendapat pahala dan keberkatan daripada Allah.

ARTIKEL YANG SAMA