Bukan terima sijil semata-mata

Bukan terima sijil semata-mata

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Perkara paling penting dalam pendidikan bukan hanya menerima sijil yang diberikan, tetapi pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, bagaimana untuk manfaatkannya, dan apa yang akan dilakukannya.

Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam, Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi berkata mereka turut berperanan sebagai rol model kepada generasi lebih muda.

“Semua ini terdapat dalam moto BSUnion, ‘Belajar untuk Mengajar’ kerana, kita sebagai penuntut yang masih menuntut, seharusnya berkongsi pengetahuan dan kebijaksanaan yang kita peroleh bukan hanya menerusi dialog dan perbincangan, tetapi melalui tindakan dan perbuatan yang dilakukan, dalam harapan mereka boleh memberikan inspirasi kepada generasi masa depan,” katanya.

Beliau menekankan perkara ini ketika berucap di majlis perasmian Forum dan Persidangan Presiden anjuran bersama Kesatuan Penuntut-penuntut Brunei di United Kingdom dan Eire (BSUnion) serta Persatuan Penuntut Institut Teknologi Brunei (ITB), di sini, semalam.

Persidangan itu menghimpunkan penuntut-penuntut dalam platform dialog terbuka untuk menangani dan membincangkan isu-isu penting yang bukan hanya membabitkan penuntut, tetapi kesatuan.

Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain ketika menghadiri perasmian forum dan persidangan berkenaan.
Dato Paduka Dr Haji Zulkarnain ketika menghadiri perasmian forum dan persidangan berkenaan.

Tema persidangan tahun ini adalah “Efisien dan Keberkesanan: Kesatuan Penuntut dalam abad ke-21”.

Wakil-wakil dari kesatuan penuntut Universiti Brunei Darussalam (UBD), ITB, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) dan Politeknik Brunei turut hadir dan berkongsi pengalaman mereka.

Selain itu, wakil-wakil penuntut Brunei di Australia, Mesir, Malaysia dan New Zealand juga hadir, dengan sesi soal dan jawab menyusul setiap pembentangan.

Lebih 90 orang penuntut Brunei dari seluruh dunia telah menyertai acara itu, dan ini membawa kepada perbincangan mengenai isu-isu yang berbeza dalam cara yang bukan hanya produktif tetapi juga menyeronokkan.

Topik-topik seperti aktiviti-aktiviti, kebajikan penuntut dan kewangan juga dibincangkan.

Daripada persidangan itu, persatuan dan pemimpin kesatuan mendapatkan maklumat yang bermanfaat yang membantu persediaan mereka bagi tahun akademik yang akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA