Bukti kebesaran dan kekuasaan Allah

Bukti kebesaran dan kekuasaan Allah

Oleh Pg Fairol RMF, Normazlina M.D, Hajah Saemah Kepli & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Dengan kejadian gerhana matahari separa yang berlaku pagi ini, umat Islam di negara ini tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat Sunat Gerhana Matahari atau solat Sunat Kusuf yang diadakan secara berjemaah di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara, dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Solat Sunat Gerhana Matahari pada jam 8:30 pagi di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, itu diimamkan oleh Pehin Khatib Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, manakala khutbah khas solat Sunat Gerhana disampaikan oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Haji Haris bin Haji Subuh.

Hadir sama dalam menunaikan solat sunat berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Fenomena gerhana matahari separa berlaku di negara ini bermula pukul 7:24 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada jam 8:23 pagi sebelum berakhir pada 9:30 pagi.

Ia merupakan salah satu fenomena alam sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta\ʼala serta membuktikan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta\ʼala berkuasa menjadikan sesuatu itu dengan kehendakNya.

Ketika gerhana matahari berlaku kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Ketika gerhana matahari berlaku kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut sama mengerjakan solat Sunat Gerhana Matahari di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin turut sama mengerjakan solat Sunat Gerhana Matahari di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Ketika berlaku fenomena berkenaan, umat Islam dianjurkan supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, istighfar, sembahyang dan bersedekah. Khatib dalam khutbahnya berkata, tatkala berlakunya gerhana, umat Islam hendaklah menjadikannya sebagai satu iktibar dengan pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri supaya selalu ingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta\ʼala dan memohon ampun atas segala dosa dan segera bertaubat kepadaNya.

Menurut Khatib, terdapat sebilangan masyarakat kita masih cenderung menghubungkan peristiwa gerhana dengan kepercayaan adat atau ramalan-ramalan kurang elok, yang hakikatnya tidak ada kaitan dengan kejadian gerhana tersebut.

Misalnya, menganggap kejadian gerhana sebagai satu petanda buruk seperti akan terjadinya satu bencana buruk atau akan berlakunya peperangan.

“Ramalan seperti ini sama sekali tidak benar dan tidak sesuai dengan ajaran agama Islam,” katanya sambil menambah bahawa dengan terjadinya peristiwa gerhana ini, masyarakat Islam hendaklah menjadikan ia sebagai satu iktibar atau pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri supaya selalu ingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan kemudian memohon ampun atas segala dosa dan bertaubatlah kepadaNya.

“Amalan ketika terjadinya gerhana itu bukan hanya mengerjakan solat Sunat Gerhana semata-mata tetapi jua disunatkan melakukan amalan kebajikan yang lain, segala amalan yang disebutkan dalam hadis Rasulullah S.A.W iaitu berdoalah kepada Allah Ta’ala, berzikir, bersembahyang dan bersedekah kerana di dalamnya terkandung rahsia-rahsia kebaikan dan manfaatnya yang tersendiri.”

Berzikir juga dianggap sebagai pendinding atau benteng daripada terjadinya bala dan musibah yang tidak diingini. Amalan berzikir ini mempunyai manfaat yang sangat besar, sama ada dalam kehidupan duniawi mahupun ukhrawi.

Amalan kedua yang dikongsikan ialah bersedekah kerana ia mempunyai kelebihan yang terkandung di dalamnya, yang juga merupakan amalan yang mulia dan dipandang tinggi di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Segala harta yang disalurkan melalui sedekah tidak akan sesekali menyebabkan kita jatuh fakir ataupun miskin, bahkan sebaliknya Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan melipatgandakan pahala bagi orang-orang yang melakukan amalan bersedekah.

Amalan ketiga ialah beristighfar dan mengingati Allah adalah amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Di Tutong, solat Sunat Gerhana Matahari diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, pagi tadi dan antara yang hadir bagi sama-sama menunaikan solat Sunat Gerhana Matahari itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam, pegawai-pegawai kerajaan di Daerah Tutong, dan para jemaah masjid. Solat Sunat Gerhana Matahari di Tutong, diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof.

Di Kuala Belait, hampir seribu jemaah, melalui beberapa buah masjid seperti Masjid Muhamad Jamalul Alam Kuala Belait, Masjid Pekan Seria, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Masjid Zainab dan Masjid Labi juga telah mengadakan solat Sunat Gerhana Matahari.

Penduduk di Kuala Belait yang turut mengerjakan solat sunat Gerhana.
Penduduk di Kuala Belait yang turut mengerjakan solat sunat Gerhana.

Solat sunat Gerhana di Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait, dimulakan pada tepat pukul 8:30 pagi dengan diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kawasan 1, Awang Akup bin Haji Lamat, diikuti dengan bacaan khutbah Gerhana Matahari.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, Ketua Pegawai Ugama Kuala Belait, Haji Asminan bin Haji Awang Chuchu dan pegawai-pegawai Kerajaan serta jemaah masjid dan orang ramai.

Solat sunat juga diselajurkan dengan khutbah khas bagi solat Sunat Gerhana yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohd Fauzi bin Haji Anuar.

Dalam pada itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Unit Kerohanian, Bahagian Hal Ehwal Pelajar turut tidak ketinggalan mengadakan Solat Sunat Gerhana Matahari bertempat di Surau KUPU SB yang diimamkan oleh Imam Surau KUPU SB, Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Othman.

Hadir di majlis tersebut ialah pensyarah-pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.