Buktikan jika saya rasuah – Blatter

Buktikan jika saya rasuah – Blatter

BERLIN, 2 Julai (AFP) – Presiden FIFA, Sepp Blatter dalam satu temu ramah bersama sebuah majalah di sini, berkata dia tidak melakukan korupsi dan mempunyai ‘suara hati yang jelas’ sekalipun badan induk itu dilanda skandal rasuah.

“Sesiapa yang menuduh saya melakukan rasuah perlu membuktikannya kepada saya terlebih dulu. Namun tiada siapa yang melakukannya kerana saya tidak korup,” kata Blatter kepada majalah mingguan Jerman, Bunte yang diterbitkan, semalam.

Empat hari selepas dilantik semula selaku Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Blatter pada 2 Jun lalu mengumumkan akan melepaskan jawatan ketika pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland menambah tekanan kepada persatuan itu.

Pihak berkuasa AS mengesahkan Blatter adalah sasaran penyiasatan mereka atas dakwaan rasuah dan penipuan berkaitan hak penyiaran dan undian bagi penganjuran kejohanan antarabangsa.

Pemimpin berusia 79 tahun itu berkata dia gembira menerima “kritikan yang adil dan membina, juga mempertimbangkan apa yang boleh dilakukan secara berbeza.

Blatter menegaskan orang yang menuduhnya rasuah untuk membuktikannya. – AFP
Blatter menegaskan orang yang menuduhnya rasuah untuk membuktikannya. – AFP

“Namun seseorang berkata, ‘Blatter adalah korup kerana FIFA juga korup,’ saya hanya boleh menggelengkan kepala saya. “Seseorang yang membuat dakwaan seperti itu tanpa sebarang bukti patut dipenjarakan,” katanya.

Blatter berkata, kepercayaan membantunya mengharungi tempoh sukar selepas siasatan jenayah membabitkan FIFA bermula.

Tarikh bagi pemilihan presiden baharu akan ditetapkan pada mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif FIFA pada 20 Julai ini di Zurich.

ARTIKEL YANG SAMA