Buku Bertemu Ruas

Buku Bertemu Ruas

Oleh Hasrulraizan & Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Al-Idrus akan cuba menjadi pasukan pertama berjaya mempertahankan Piala FA Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST apabila bertemu dengan Kementerian Pembangunan (MOD) pada final malam esok (Selasa).

Perlawanan dijangka hebat dengan kedua-dua buah pasukan dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan itu akan berlangsung di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bermula jam 8 malam.

Perkara di atas telah didedahkan oleh Pengarah Kejohanan merangkap Timbalan Setiausaha Agong VFA, Jabar Ithnin semasa sidang media Piala FA Keempat petang ini yang turut dihadiri pengurus kedua-dua pasukan iaitu Awang Rambli bin Haji Awang Minuddin (MOD) dan Awangku Kanzul Shah bin Pengiran Haji Damit (Al-Idrus).

Menurut Jabar, juara-juara sebelum ini iaitu Muara Vella (2012) dan XN FT (2013) gagal mempertahankan kejuaraan mereka dan kini giliran Al-Idrus pula mencuba setelah menjuarainya tahun lalu.

Pengurus Al-Idrus, Ak Kanzul Shah (kiri) dan Pengurus MOD, Awang Rambli bergambar dengan Piala FA Veteran Kebangsaan semasa sidang media semalam.
Pengurus Al-Idrus, Ak Kanzul Shah (kiri) dan Pengurus MOD, Awang Rambli bergambar dengan Piala FA Veteran Kebangsaan semasa sidang media semalam.

Tatkala peluang meraih piala Al-Idrus hanya tinggal Piala FA itu sahaja selepas terkeluar daripada persaingan merebut Piala Presiden tahun ini di pusingan kedua dengan jaringan 2-3 kepada BSRC Veteran, MOD pula berpeluang meraih kejuaraan berganda apabila akan turun bermain pada peringkat separuh akhir Piala Presiden Ahad ini (24 Mei) menentang XN FT.

Pengurus kedua-dua pasukan memberitahu kesemua pemain mereka cergas 100 peratus dan bersedia untuk bertarung sambil mendedahkan mereka akan menurunkan kesebelasan utama masing-masing kerana tiada yang cedera atau digantung perlawanan.

Awang Rambli juga menyatakan MOD cukup bersedia setelah melalui perlawanan-perlawanan dalam kejohanan antara jabatan di bawah MOD, kemudiannya dalam saingan Kategori Veteran futsal Pesta Sukan Kementerian-Kementerian 2015 baru-baru ini.

Selain itu MOD juga giat menjalani latihan berterusan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman iaitu Haji Mohamad Rosanan Abdullah Samak dan Haji Mohd Rosaidi Haji Mohd Khamis, dedahnya lanjut.

Awangku Kanzul Shah pula memberitahu Al-Idrus turut giat berlatih di samping sering mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi final Piala FA dan segalanya telah berjalan lancar.

Ditanyakan mengenai ramai pemain Al-Idrus tahun lalu yang kini bermain untuk MOD, Awangku Kanzul Shah menjelaskan mereka tidak menghadapi masalah kerana mereka sudah melaluinya semasa Kejohanan Bolasepak Piala Al-Idrus kerana para pemain terlibat turut bermain untuk MOD dalam kejohanan itu.

Di samping itu menurutnya dalam kancah Piala Presiden 2015, Al-Idrus dan MOD bersaing dalam kumpulan yang sama dan dalam pertembungan antara keduanya pada peringkat kumpulan telah berkesudahan seri 1-1.

Awang Rambli pula menegaskan para pemainnya cukup komited untuk menjuarai Piala FA untuk MOD walaupun perlu menewaskan bekas pasukan mereka iaitu Al-Idrus.

Menyentuh mengenai saingan separuh akhir Piala Presiden pada 24 Mei, menurutnya itu tidak mengganggu persiapan pasukannya menghadapi final Piala FA esok kerana tempoh masa empat hari adalah cukup untuk para pemainnya cergas 100 peratus semula.

Dia turut menegaskan MOD tidak menetapkan keutamaan di antara kedua-dua piala berkenaan kerana mereka ingin memenangi kedua-duanya sebagaimana pernah dicapai XN FT pada 2013.

ARTIKEL YANG SAMA