Buku bertemu ruas

Buku bertemu ruas

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Final Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 akan mempertemukan juara Kumpulan A, Institut Teknologi Brunei (ITB) dan juara Kumpulan B, Kolej International Graduate Studies (IGS).

Kolej IGS berjaya melucutkan mahkota kejuaraan Unicup daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan itu malam tadi di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong.

UBD sedang dalam laluan ke final untuk bertemu semula dengan ITB selepas 2013 apabila sudah mendahului 1-0 seawal minit kesembilan menerusi jaringan Awangku Md Khairul Azim bin Pengiran Haji Mohamad.

Separuh masa kedua bermula 1-0 dan kedudukan itu tidak berubah sehinggalah Kolej IGS dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Awangku Md Shobri bin Pengiran Ibrahim untuk mengikat kedudukan pada 1-1 pada minit ke-61.

Kolej IGS (hitam) semasa menentang UBD (merah) dalam aksi separuh akhir Piala Universiti semalam.
Kolej IGS (hitam) semasa menentang UBD (merah) dalam aksi separuh akhir Piala Universiti semalam.

Awangku Md Shobri sekali lagi mengambil sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kolej IGS pada minit ke-80 dan dia sekali lagi berjaya menyudahkannya untuk membawa pasukannya ke depan dengan 2-1.

UBD terus cuba mendapatkan gol penyamaan namun gagal apabila pengadil meniupkan wisel penamat dengan rasa tidak puas hati di kalangan pemain dan pegawai UBD terus terserlah sebaik perlawanan tamat.

Cosmopolitan College of Commerce & Technology (Cosmo) dan UBD akan bertemu esok (Jumaat), jam 8:15 malam di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Sementara perlawanan akhir antara ITB dengan Kolej IGS akan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA