Buku bertemu ruas

Buku bertemu ruas

LYON, 5 Julai – Gareth Bale membawa Wales ke dalam pertembungan dengan Cristiano Ronaldo dan Portugal ke separuh akhir Euro 2016 pada Khamis (BSB) dengan harapan untuk menjadi pasukan pertama British mara ke final kejohanan utama dalam tempoh 50 tahun.

Wales telah melepasi semua jangkaan pada penampilan pertama pusingan akhir Kejohanan Eropah dan layak ke separuh akhir dengan kemenangan 3-1 ke atas Belgium.

Walau bagaimanapun, dua pemain paling mahal di dunia dari kelab Real Madrid itu akan membuat perhitungan dan pasti memberikan suntikan tambahan kepada pertemuan yang sudah pun mempesonakan di Lyon itu.

“Pertemuan ini bukan mengenai dua pemain. Semua orang tahu. Ia mengenai separuh akhir kedua-dua negara,” tegas Bale semalam dalam usaha untuk meredakan bahang pertemuannya dengan Ronaldo.

“Dia seorang pemain yang hebat. Semua orang tahu apa yang dia boleh lakukan. Kami menumpukan perhatian kepada apa yang kami boleh lakukan sebagai satu pasukan dan bukan menumpukan perhatian kepada individu.”

Bintang bola sepak kedua-dua pasukan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale akan bertembung Khamis ini. - AFP
Bintang bola sepak kedua-dua pasukan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale akan bertembung Khamis ini. – AFP

Walaupun memenangi Liga Juara-Juara dua kali dalam tempoh tiga tahun bersama Madrid, Bale kerap dibayangi Ronaldo di ibu negara Sepanyol itu, di mana legenda Portugis merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah Real.

Bagaimanapun, Bale yang cukup cergas di Perancis menjaringkan gol dalam semua aksi peringkat kumpulan dan memaksa Gareth McAuley dari Ireland Utara menjaringkan gol sendiri dengan hantaran kejam yang memutuskan perlawanan 16 pasukan terakhir.

Sebaliknya, Ronaldo dilihat perengus, tertekan dan juga bermain di bawah tahap biasanya yang selalunya tajam di hadapan pintu gol. Pemain terbaik dunia tiga kali itu menjaringkan dua gol menentang Hungary untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam empat kejohanan Eropah, tetapi gagal menjaringkan gol menentang Iceland, Austria, Croatia dan Poland. Bagaimanapun, midfield Portugal Andre Gomes mempertahankan persembahan hambar kapten itu.

“Beliau banyak berusaha untuk pasukan dan itu perkara paling penting. Dia telah memberikan segala-galanya,” kata pemain Valencia itu. “Bale adalah rujukan untuk Wales seperti Cristiano yang menjadi rujukan untuk kami.

“Bale tahu liga Sepanyol dan saya juga sudah bermain menentang pasukan British sebelum ini dan saya tahu gaya mereka. Mereka kuat, agresif dan menyerang dengan serangan balas dengan baik.”

“Anda tidak boleh bercakap tentang pasukan pilihan pada separuh akhir. Jika Wales sudah melangkah sejauh ini, itu semuanya kerana mereka berhak. Kami perlu menghormatinya.”

Portugal mara ke separuh akhir walaupun tidak memenangi perlawanan dalam masa 90 minit kerana mereka satu-satunya pasukan yang mara selepas seri semua tiga aksi kumpulan sebelum Ricardo Quaresma menyumbat gol pada minit ke-117 menewaskan Croatia dan penalti diperlukan untuk menyingkirkan Poland pada suku akhir.

Bale bagaimanapun enggan terpedaya dengan laluan Portugal ke separuh akhir buat kali keempat dalam lima penyertaan terakhir Euror.

“Kami tahu apa kejohanan yang sudah mereka lalui. Kami menyaksikan semua permainan mereka di TV. Mereka pasukan yang berbahaya dan berada pada ranking tinggi. Mereka bukan beraksi di separuh akhir tanpa sebab,” kata Bale.

“Walaupun mereka tidak pernah menang, mereka mendapat keputusan yang diperlukan. Kami akan melakukan kerja rumah seperti biasa. Mudah-mudahan malam itu nanti kami boleh mempamerkan prestasi hebat sekali lagi dan melakar lebih banyak sejarah.”

Kedua-dua pasukan terganggu dengan penggantungan pemainnya lebih-lebih lagi pemain tengah Arsenal Aaron Ramsey yang menjadi kehilangan besar untuk Wales.

Jonny Williams dari Crystal Palace dijangka menggantikan Ramsey, manakala ketiadaan Ben Davies boleh mencetuskan rombakan pertahanan dengan Chris Gunter bergerak dari bek kanan ke tiga barisan benteng bagi memberi laluan kepada Jazz Richards dari Fulham untuk membuat penampilan pertama.

Portugal pula beraksi tanpa William Carvalho yang digantung tetapi Gomes dan Joao Moutinho sedia untuk diturunkan selepas pulih daripada kecederaan. Danilo pilihan paling jelas untuk menggalas peranan Carvalho di bahagian tengah. – AFP