Buku bertemu ruas

Buku bertemu ruas

NEW YORK, 9 Sept – Angelique Kerber meraikan kejayaan merampas status pemain nombor satu dunia dengan penuh bergaya apabila mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan Caroline Wozniacki 6-4, 6-3 dalam pertemuan separuh akhir, kelmarin sekali gus menempah pertemuan dengan Karolina Pliskova.

Pemain berusia 28 tahun itu yang menjuarai Terbuka Australia Januari lalu dan muncul naib juara Wimbledon (Julai) adalah pemain Jerman pertama mara ke final di New York sejak Steffi Graf melakukannya pada 1996.

Dia bakal menyamai pencapaian Graf yang menjuarai Terbuka AS jika berjaya melepasi halangan pemain Republik Czech, Karolina Pliskova pada pentas final. Graf juga satu-satunya pemain wanita Jerman yang berjaya menduduki ranking nombor satu dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Kerber yang mencatat empat kemenangan dalam tujuh pertemuan dengan Pliskova tetapi lawannya itu sudah bermotivasi tinggi selepas menyingkirkan pilihan pertama, Serena Williams dalam pertemuan separuh akhir.

Kerber (kiri) dan Pliskova (kanan) akan bertemu pada final Terbuka AS selepas masing-masing menewaskan Caroline Wozniacki dan Serena Williams pada pertemuan separuh akhir, kelmarin. – AFP
Kerber (kiri) dan Pliskova (kanan) akan bertemu pada final Terbuka AS selepas masing-masing menewaskan Caroline Wozniacki dan Serena Williams pada pertemuan separuh akhir, kelmarin. – AFP

Kerber mendahului Pliskova 4-3 dalam rekod pertemuan mereka, tetapi pemain Czech itu menang dalam pertemuan terbaru mereka di Cincinnati akhir bulan lepas.

Hanya beberapa minit selepas menjadi pemain tertua pertama kali muncul pemain nombor satu dunia, Kerber tidak ada masalah untuk membenam naib juara dua kali kejohanan dari Denmark itu.

Dua break daripada servis memberikannya pendahuluan 4-0 selepas 15 minit, hanya terlepas lima mata dan berjaya mendapat dua lagi mata break pada permainan kelima untuk mengatasi Wozniacki. – AFP