Buku bertemu ruas

MADRID, 13 Feb – Perlawanan Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Paris Saint-Germain awal pagi Khamis ini bakal menyaksikan pertembungan dua bintang bola sepak terkemuka dunia, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Ronaldo, pemain terbaik dunia ketika ini, telah menemui semula prestasi terbaiknya tepat pada masanya.

Sementara itu, PSG menaruh harapan mereka pada Neymar, pemain termahal dunia dan pemenang Ballon d’Or di masa depan, ketika mereka memburu kegemilangan Eropah yang selama ini gagal dicapai.

Bintang Brazil itu telah meninggalkan Barcelona untuk berpindah ke Paris kerana mahu keluar daripada bayang-bayang Lionel Messi. Meskipun muda tujuh tahun daripada Ronaldo, dia sudah diperkatakan di ibu negara Sepanyol sebagai kemungkinan pengganti bintang Portugal itu.

Setakat ini laluan Neymar ke Ballon d’Or disekat oleh duo Messi dan Ronaldo, mereka masing-masing telah menerima anugerah itu lima kali dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Jika Neymar menginspirasikan kemenangan PSG dalam perlawanan itu, kemudian membawa kegemilangan di final pada bulan Mei, dia akan mempunyai peluang untuk menamatkan dominasi itu.

Meskipun Ronaldo telah memasuki usia 33 tahun Isnin lepas, dia masih belum selesai.

Dia hanya menjaringkan empat gol dalam 18 perlawanan La Liga pertama Real, permulaan perlahannya disebabkan musim panasnya dibayangi dengan pertuduhan mengelak cukai.

Tetapi hatrik hujung minggu lalu dalam kemenangan 5-2 ke atas Real Sociedad telah menjadikan jumlah jaringannya kepada tujuh gol daripada empat perlawanan terakhir dalam liga.

Tiba-tiba, ‘CR7’ kini mempunyai 23 gol dalam semua persaingan musim ini, lebih berbanding pada peringkat yang sama tahun lepas.

“Saya selalu mahu menghasilkan permainan di tahap tertinggi dan kadangkala ia tidak menjadi seperti yang kita mahukan,” kata Ronaldo.

Prestasinya mungkin mula menurun, tetapi dia masih bersinar. Dan Ronaldo juga masih menyerlah dalam Liga Juara-Juara, kejohanan yang telah dimenanginya sebanyak empat kali sebelum ini.

Bintang Portugal itu sudah menjaringkan sembilan gol musim ini dalam peringkat kumpulan dan gol seterusnya akan menjadi gol ke-100 dalam kejohanan itu untuk Real.

Manakala enam bulan pertama Neymar di Perancis dibayangi dengan beberapa laporan mengenai ketidakserasiannya dengan Edinson Cavani, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa PSG.

Bahkan masih ada keraguan bagaimana suasana di Perancis memberikan motivasi kepadanya.

Minggu lepas dia terlepas dalam aksi Piala Perancis di Sochaux, hanya 48 jam selepas meraikan parti mewah bagi menyambut ulang tahunnya ke-26 di Place Vendome.

Tetapi Neymar boleh sahaja melakukan dan berkata apa sahaja yang dimahukannya, selagi persembahannya di atas padang memuaskan hati pemilik PSG dari Qatar selepas mereka melaburkan 222 juta euro untuk mendapatkannya.

Dan dia membayar balik pelaburan itu dengan terus menjaringkan gol dengan jersi Paris.

“Kami mempunyai ramai pemain hebat, tetapi pemimpin kami di atas padang adalah Neymar,” kata jurulatih PSG, Unai Emery baru-baru ini. – AFP