Buku ‘Endangered Brunei’ dilancar hari ini

Buku ‘Endangered Brunei’ dilancar hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama, Todd Mercer akan melancarkan bersama buku mewarna bertajuk ‘Endangered Brunei’ hasil projek kolaborasi kelab pemuliharaan hidupan liar, 1StopBrunei, dan syarikat pemasaran tempatan, Creativity180.

Pelancaran yang akan diadakan di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi, hari ini, juga bakal menayangkan video mengenai spesies terancam di negara ini dan taklimat tidak rasmi daripada pengasas kelab, Awang Muhammad Shavez, tentang kepentingan menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar sejajar dengan perubahan iklim.

Buku mewarna kanak-kanak itu, yang pertama sejenisnya di Brunei, bercirikan 10 spesies tropika yang terancam di negara ini termasuk kokang, burung enggang hitam, ular sawa batik, kucing hutan, monyet belanda, pelanduk, tenggiling, keluang bakau, beruang madu dan katak pokok.

Buku berkenaan merupakan projek terbaru dalam percubaan kelab itu mempelbagaikan program pendidikan hidupan liar untuk memasukkan kaedah pengajaran yang lebih interaktif dan menarik yang ditujukan kepada remaja dan belia tempatan.

Sebagai tambahan kepada kempen pendidikan mereka, 1StopBrunei Wildlife juga melaksanakan penyelidikan dan menjalankan penyelamatan haiwan, pemulihan dan melepaskan semula haiwan ke tempatnya.

Mereka berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar menerusi aktiviti media sosial dan dengan memulakan inisiatif seperti Projek Pembersihan Sungai Brunei, Kelab Buku Alam Semula Jadi serta Malam Dokumentari Alam Semula Jadi.

“Setakat ini kami telah menyampaikan sebanyak 44 ceramah di beberapa buah sekolah dan institusi di Brunei dan telah pun menyelamatkan serta membebaskan 50 haiwan daripada situasi berbahaya,” kata Muhammad Shavez.

“Kami berharap bahawa dengan melibatkan para belia dalam cara yang menyeronokkan dan menarik, akan meningkatkan kesedaran di sekitar topic pemuliharaan dan kami akan berada dalam kedudukan yang baik untuk melindungi spesies terancam yang bernilai di negara kami,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA