Buku panduan burung tempatan dilancarkan

Buku panduan burung tempatan dilancarkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Produk pelancongan yang berasaskan alam semula jadi seperti aktiviti memerhati burung, menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Usaha untuk mengembangkan lagi industri pelancongan alam semula jadi itu mendapat suntikan baru dengan pelancaran buku bertajuk ‘Bird Watching in Brunei Darussalam 2016: A guide to the birds of Brunei Darussalam’, yang diadakan sebagai salah satu acara di Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2, hari ini.

Buku yang merupakan panduan kepada para penggemar dan pemerhati burung tempatan serta luar negara itu dilancarkan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin HajiApong pada majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, pelancaran buku itu merupakan usaha berterusan bagi meningkatkan serta mengetengahkan lagi produk pelancongan alam semula jadi bersih negara iaitu kegiatan memerhati burung.

Beliau menjelaskan lagi, buku itu bukan sahaja dihasratkan menjadi panduan bagi pemerhati burung untuk mengenali jenis-jenis dan spesies burung endemik Brunei tetapi juga sebagai rujukan kepada ahli akademik dan orang ramai serta pada masa yang sama untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemuliharaan hidupan liar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyempurnakan pelancaran buku ‘Bird Watching in Brunei Darussalam 2016: A guide to the birds of Brunei Darussalam.’
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyempurnakan pelancaran buku ‘Bird Watching in Brunei Darussalam 2016: A guide to the birds of Brunei Darussalam.’
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan para jemputan lain diberikan penerangan mengenai jenis-jenis dan spesies burung endemik Brunei.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan para jemputan lain diberikan penerangan mengenai jenis-jenis dan spesies burung endemik Brunei.

Penghasilan buku itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Unit Alam Semula Jadi, Jabatan Pembangunan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan industri pelancongan tempatan untuk mengemaskinikan buku panduan pemerhati burung Brunei.

Buku pemerhati burung itu merupakan edisi kedua yang mana bagi edisi terkini ia mempunyai tambahan sebanyak 191 spesies burung yang kelihatan di Brunei Darussalam dan dicatatkan oleh Kelab Fotografi Hidupan Liar Brunei (BWPC) dan Kumpulan Pemerhati Burung Brunei yang diterajui oleh Awang Mohd Vol bin Haji Momin serta diiktiraf oleh pemerhati burung terkenal di Borneo, Dr Quentin Phillips.

Cetakan pertama buku sebanyak 92 muka surat itu sudah diedarkan kepada para pemerhati burung dan persatuan serta kelab pemerhati burung serantau sebagai bahan promosi strategik Jabatan Pembangunan Pelancongan untuk menjana kesedaran mengenai Brunei Darussalam sebagai destinasi baru bagi pemerhati burung di Asia Tenggara.

Di samping itu, sebuah pakej memerhati burung khas yang dihasilkan oleh operator pelancongan tempatan yang berlesen, Sakam Enterprise, yang menumpukan kepada pakej-pakej pelancongan alam semula jadi, turut dilancarkan.

Pakej memerhati burung yang ditawarkan itu terdapat dalam beberapa jenis pakej termasuk pakej setengah hari dan pakej dua hari satu malam ke Taman Negara Ulu Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA