Buku Panduan SBT dilancar

Buku Panduan SBT dilancar

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, hari ini, telah melancarkan Buku Panduan Komiti Peringkat Sekolah (SBT) di majlis yang berlangsung di Dewan Sukma Indera, Sekolah Rendah Rimba II.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah para pengarah dari pelbagai jabatan di Kementerian Pendidikan, pengetua dan guru-guru besar serta para peserta Kursus Pengenalan 12 Minggu mengenai Pendidikan Inklusif yang baru sahaja berakhir baru-baru ini.

Pengerusi Majlis, Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad, dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa, SBT merupakan jawatankuasa yang ditugaskan merancang, menyediakan, melaksanakan dan menilai semula program-program dan perkhidmatan sesuai bagi para pelajar berkeperluan khas.

Menurutnya, ia adalah penting dalam memastikan kejayaan amalan-amalan inklusif dalam bilik darjah dan Dasar Pendidikan Inklusif disokong oleh Kementerian Pendidikan.

Dr. Haji Junaidi melancarkan Buku Panduan SBT di Sekolah Rendah Rimba II, kelmarin.
Dr. Haji Junaidi melancarkan Buku Panduan SBT di Sekolah Rendah Rimba II, kelmarin.

pg09_150530_b

Dalam hal ini, dan dengan tujuan mengukuhkan peranan SBT, katanya, Unit Pendidikan Khas telah menganjurkan beberapa sesi kongsi sama bagi guru-guru SENA (Special Education Needs Assistants), guru darjah dan wakil-wakil sekolah dari kluster 1 hingga 6 di keempat-empat daerah.

Beliau menambah, ini diperkukuhkan lagi dengan penerbitan Buku Panduan SBT, yang menurutnya, bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai SBT supaya program-program dan khidmat sokongan yang bersesuaian dapat dilaksanakan bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Dalam pada itu, Pengiran Sarimah turut menekankan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam SBT kerana mereka boleh membantu menampung lagi kemajuan pembelajaran anak-anak mereka di rumah.

Menekankan kepentingan peranan ibu bapa ini, beliau berkata bahawa dengan sokongan berterusan ibu bapa dan guru-guru SENA, 84 peratus pelajar dalam program sokongan pembelajaran menunjukkan peningkatan dalam kecekapan membaca dalam Bahasa Melayu sementara 87 peratus pelajar menunjukkan peningkatan dalam penulisan Bahasa Melayu.

Ini dicatatkan dalam tempoh enam bulan menggunakan Kaedah Gabungan Bunyi Kata, katanya.

Majlis pelancaran berkenaan turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan kepada 33 guru sekolah rendah dan 34 guru sekolah menengah yang berjaya menamatkan Kursus Pengenalan mengenai Pendidikan Inklusif baru-baru baru ini, sekali gus dilantik menjadi Guru Pembantu Pembelajaran di sekolah masing-masing.

Selain itu, Profesor Madya Dr. Koay Teng Leong dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam turut menerima sijil penghargaan atas sumbangannya dan pengajaran berpasukan bersama pembekal perkhidmatan profesional.

Salinan Buku Panduan SBT boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan diedarkan kepada guru-guru pemimpin yang hadir termasuk pengetua dan guru-guru besar serta guru-guru pembantu pembelajaran yang baru dilantik.

Lebih banyak salinan buku panduan akan diedarkan oleh Unit Pendidikan Khas dalam masa terdekat ini.

ARTIKEL YANG SAMA