Buku terjemahan tingkatkan pemahaman budaya China

KAHERAH – Didorong oleh abang mereka, Abdullah Kamal yang merupakan seorang wartawan terkemuka di Mesir dimana menganggap China memiliki potensi untuk melebarkan kuasa di peringkat global telah membuatkan dua adik kembarnya iaitu Rasha dan Shiamaa membuat keputusan untuk meneruskan kajian Bahasa China pada sekitar tahun 1990an demi memahami dengan lebih terperinci terhadap kuasa ekonomi negara tersebut.

Kini, mereka secara tidak langsung telah menjadi ibarat satu jambatan yang menghubungkan di antara budaya China dengan Arab di mana mereka bekerja sebagai penterjemah dan pensyarah Bahasa Cina.

“Sejak tahun pertama mengikuti pengajian di Kolej Bahasa al-Allsun pada tahun 1996, saya dan adik kembar telah menetapkan objektif untuk melibatkan diri dalam mempromosikan pengetahuan, memindahkan dan mengenalkan lebih banyak maklumat yang lebih terperinci mengenai China di Arab,” jelas Rasha Kamal, 38, profesor Bahasa Cina di Universiti Ain Shams kepada Xinhua.

Sejak 2011, Rasha telah menterjemahkan dan menyunting sebanyak 36 buah buku mengenai China termasuk aspek lonjakan ekonomi China yang besar biografi Deng Xiaoping, reformasi arkitek China dan banyak lagi.

“Saya sangat berminat untuk bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan China untuk mentakrifkan sejarah Cina, budaya dan tamadun dari perspektif negara itu sendiri dan bukannya dari pengaruh barat yang sering disalah erti,” jelas Rasha, salah seorang pasangan kembar itu,

Ketua Jabatan Bahasa Cina di Universiti Swasta Badr, Kaherah menjelaskan kepada Xinhua bahawa warga Mesir kini semakin bersemangat untuk membaca, belajar, menyaksikan dan terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan hubungan mereka dengan kisah kejayaan China.

Bilangan pelajar Mesir yang mengikuti pengajian di Jabatan Bahasa Cina di al-Allsun meningkat jauh lebih tinggi daripada hanya memiliki seramai 40 orang pada tahun 1995 sehingga ke 250 orang pada tahun ini.

Sementara itu, kebanyakan universiti swasta di sekitar Mesir juga telah membuka lebih banyak jabatan baru yang menawarkan kursus bahasa dan kesusasteraan Cina.

Adik-beradik kembar yang sangat mencintai kebudayaan Cina itu menjelaskan bahawa mereka sangat aktif dalam menyertai mesyuarat, seminar, bengkel, pameran seni, konsert, pesta buku dan lain-lain di kebanyakan negara-negara Arab bagi menyebarkan pengetahuan mengenai China sejak mereka tamat pengajian pada tahun 2000 dengan harapan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai keistimewaan negara di benua Asia itu.

“Ini jelas menjadi peranan yang wajar kami laksanakan selaku seorang tenaga pengajar akademik dan penterjemah untuk menghapuskan persepsi palsu yang sering menganggapnya sebagai konservatif dan tertutup sejak beberapa dekad yang lalu,” jelas Shiamaa yang baru sahaja menghadiri sebuah seminar yang diadakan di Emiriah Arab Bersatu yang membicarakan mengenai inisiatif jalan dan perhubungan.

Dicadangkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada tahun 2013, inisiatif itu bertujuan untuk membina rangkaian perdagangan dan infrastruktur di mana ia menghubungkan Asia dengan Eropah, Afrika dan Timur Tengah di sepanjang laluan perdagangan purba itu demi untuk mencari pembangunan dan kemakmuran yang sama.

China telah dikategorikan sebagai kuasa global sejak 40 tahun yang lalu sekaligus menonjolkan usaha kerja keras dan semangat keyakinan yang telah dilaksanakan dalam merelisasikan impian tersebut.

“Pengaruh China kini diperluaskan lagi ke negara-negara dunia ketiga berdasarkan minat dan kerjasama serta bukannya berasaskan kepada konfrontasi di mana ia menumpukan kepada prinsip memberi dan menerima di antara satu sama lain,” jelas Rasha.

Selepas mencapai kemajuan ekonomi yang memberikan impak besar terhadap politik global, China telah mula memberikan perhatian besar untuk mempromosikan budaya mereka.

“China yang dahulunya dikenali sebagai sebuah negara tertutup dengan memberikan tumpuan yang penuh untuk memajukan budayanya sendiri telah menjadi masyarakat yang lebih terbuka untuk menerima budaya lain,” jelas Rasha.

Pasangan kembar itu melihat Inisiatif Perhubungan yang disarankan itu sebagai peluang keemasan untuk meningkatkan hubungan budaya.

Pasangan kembar merasakan begitu banyak sejarah, kehidupan dan kebudayaan China yang terkenal sebagai antara kuasa global yang terhormat itu yang dapat memberikan manfaat kepada ramai orang termasuk warga Arab. – Xinhua
Rasha Kamal bersama dengan adiknya terus gigih untuk memahami dan menterjemahkan buku-buku dalam Bahasa Cina ke dalam Bahasa Arab dengan harapan untuk memberikan perspektif baru sekali gus mempromosikan budaya negara itu. – Xinhua

Shiamaa yang telah menterjemahkan tiga buah buku berhubung mengenai inisiatif itu ke dalam Bahasa Arab menjelaskan bahawa terdapat begitu banyak minoriti, kumpulan etnik, agama dan latar belakang bersejarah yang cukup menarik untuk diketahui dan sangat bermanfaat untuk menjadi rujukan di masa hadapan.

Rasha memuji inisiatif tersebut kerana ia bukan sahaja memberi tumpuan untuk menggalakkan perkongsian dan kerjasama dengan para peserta di mana ia sama sekali berbeza dengan model barat namun ia juga tetap menonjolkan sifat keazaman dan usaha yang dilaksanakan oleh China untuk meyakinkan rakan-rakannya untuk menyokong dan memajukannya.

Dia juga turut menyatakan bahawa China dalam mempromosikan mengenai inisiatif itu telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk menubuhkan pusat penyelidikan, mengadakan seminar dan persidangan serta menterjemahkan maklumat yang berkaitan dengan beberapa bahasa.

Statistik rasmi telah memperlihatkan bahawa belia Mesir suka mengusahakan pelbagai projek-projek di China yang tersebar di seluruh rantau dan mempelajari Bahasa Cina untuk memudahkan kerjaya selaku pemandu pelancong.

Dianggarkan seramai 200,000 orang pelancong China melawat Mesir pada tahun 2016. Malah China juga menjadi negara keempat dalam kebanyakan pelancong yang mengunjungi Mesir di mana ia juga berperanan dalam memberikan rangsangan utama terhadap industri pelancongan yang telah mengalami kelembapan berikutan daripada pergolakan politik dan serangan pengganas sejak 2011.

Oleh itu, pasangan adik-beradik itu jelas percaya bahawa Mesir dan China perlu untuk meningkatkan kordinasi yang bukan sahaja di antara kementerian budaya mereka tetapi juga antara industri penerbitan dan terjemahan di kedua-dua buah negara.

Selain menghadiri banyak pesta buku dan seminar berhubung mengenai China di Timur Tengah pada 2017, Rasha juga turut mengunjungi banyak negara lain di Arab dan Eropah bagi mempromosikan bukunya yang menumpukan kepada China melalui persepektif dari negara itu sendiri di mana kerjasama bersama penulis, novelis dan penterjemah dari China juga telah dilaksanakan.

“Apabila saya menterjemahkan siri buku tentang sejarah, geografi, makanan dan minorityi di Xinjiang, saya merasakan ia seolah-olah menjadi pelindung kepada khazanah berharga itu dan bukannya selaku seorang penterjemah,” jelas Rasha.

Kini, Rasha sedang berusaha untuk menterjemahkan lebih banyak buku berhubung mengenai China ke dalam Bahasa Arab.

“Misi kami bukan hanya untuk menterjemah namun juga turut berusaha untuk memperkenalkan budaya China kepada warga Arab,” jelas Rasha.

Pasangan kembar tersebut juga turut menyimpan impian untuk menterjemah ensiklopedia Islam-China ke dalam Bahasa Arab kerana mereka melihatnya sebagai langkah yang sangat penting untuk memperbetulkan maklumat yang tidak tepat berhubung dengan Muslim Cina sekali gus memperkenalkan falsafah, etnik dan disiplin Cina ke negara-negara Arab. – Xinhua