Bulan Ramadan peluang tambah rezeki

Bulan Ramadan peluang tambah rezeki

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jun – Bulan Ramadan bukan sahaja peluang untuk melipatgandakan apa jua amal ibadat, tetapi juga pendapatan lebih kepada para peniaga termasuk para belia dengan menjual juadah berbuka puasa di gerai-gerai Ramadan.

Wartawan Media Permata, hari ini, tidak melepaskan peluang mengunjungi Pasar Malam merangkap Gerai Ramadan Gadong, yang disertai lebih 50 peniaga tempatan.

Sebilangan peniaga telah membuka gerai mereka seawal tengah hari lagi, dan menginjak waktu petang, kawasan gerai dibanjiri oleh orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Salah seorang belia yang ditemui, Awang Mohd Amirul Fadli bin Mohd Hazli, 17, daripada Armz Kebab, memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama beliau mengikuti jualan gerai Ramadan.

“Saya mengikuti gerai ramadan ini semata-mata untuk membantu perniagaan keluarga di samping untuk mendapatkan rezeki lebih di bulan yang mulia ini.”

Antara juadah makanan dan minuman yang dijual di gerai itu.
Antara juadah makanan dan minuman yang dijual di gerai itu.
Mohammad Naif (kiri) semasa berniaga di Pasar Malam dan Gerai Ramadan Gadong.
Mohammad Naif (kiri) semasa berniaga di Pasar Malam dan Gerai Ramadan Gadong.

Menurutnya, gerai mereka mula beropeasi pada jam 12 tengah hari lagi bagi membuat persiapan awal pada hari pertama Ramadan.

Manakala itu, seorang lagi belia, Awang Mohammad Naif bin Abdul Khalid, 19, daripada gerai Shawarma Kebab Wraps pula menyatakan beliau sangat meminati aktiviti itu sejak berumur 15 tahun lagi.

Menurutnya, sebelum ini, penyertaan beliau untuk berniaga datangnya daripada dorongan ayah beliau sendiri.

Beliau juga selalu komited dalam membantu meningkatkan hasil pendapatan keluarga dan meningkatkan ekonomi negara.

“Persaingan dari segi jualan tempatan bersama gerai-gerai lain adalah perkara biasa kerana di sini lebih ramai lagi perniagaan yang menjual juadah yang sama.

“Hasil pendapatan jualan kami adalah bergantung daripada rezeki dan nasib sendiri dan apa yang paling penting ialah cara penjualan kami di mana kami harus lebih kreatif dan inovatif untuk menarik perhatian para pelanggan,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA