Buli: Murid Tahun 2 dipaksa potong lidah

Buli: Murid Tahun 2 dipaksa potong lidah

KLANG, 27 Mac (UM/Bernama) – Dalam satu kejadian buli yang disifatkan paling tragis pernah berlaku, seorang murid tahun dua, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, dipaksa memotong lidahnya sendiri di sebuah sekolah rendah di sini.

Dia mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama ketika waktu rehat.

Menurut Muhammad Alif Shukran, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang Khamis lalu semasa dia ke tandas berseorangan.

Ketika hendak keluar dari tandas, dia ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.

‘‘Saya terpaksa mengikut arahan mereka kerana takut ditumbuk,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Tinggi di sini.

Dalam keadaan berlumuran darah dan menangis kerana kesakitan, Muhammad Alif Shukran kembali ke kelas manakala kesemua murid berkenaan melarikan diri.

Bagaimanapun, jelasnya, dia tidak dapat mengecam murid yang memaksanya melakukan perbuatan tersebut kerana kesemua mereka memakai topeng kertas.

Muhammad Alif Shukran mendakwa, dia sebelum ini sering dibuli termasuk ditumbuk oleh murid-murid lain.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Nurhuda Ibrahim, 29, berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 6 petang sebelum bergegas ke sekolah.

Dia kemudiannya menghantar Muhammad Alif Shukran mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Katanya, akibat kejadian itu, lidah anaknya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

“Doktor bagaimanapun mengesahkan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana hanya sebahagian kecil yang terpotong tetapi bahagian yang terpotong itu tidak akan tumbuh semula.

Dalam perkembangan terbaru, ibunya mengatakan mahu anaknya ditukarkan ke sekolah lain dengan segera kerana serik dan mahu kejadian hitam menimpa anaknya tidak berulang.

“Saya mahu menukarkan dia (Muhammad Alif Shukran) ke sekolah lain kerana tidak mahu dia dibuli lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Siti Nurhuda berkata polis juga telah mengambil semula keterangannya hari ini, berhubung siasatan kes berkenaan.

Beliau berharap polis dapat menyelesaikan segera kes tersebut supaya ia tidak berlaku ke atas murid lain.

ARTIKEL YANG SAMA