Bunga ekor kucing mekar sepanjang tahun

Bunga ekor kucing mekar sepanjang tahun

POKOK bunga ekor kucing ini adalah salah satu tumbuhan yang boleh ditanam kerana keunikan bentuk bunga dan kecantikan daunnya.

Bunga spesies Acalypha hispida daripada keluarga tumbuhan Euphorbiaceae ini berbentuk unik iaitu merupakan sejenis bunga majmuk yang terdiri daripada banyak anak bunga kecil berwarna merah tua yang tumbuh melekat pada keliling tangkai bunganya yang memiliki tahap kepanjangan kira-kira 20 sentimeter.

Bunganya yang membengkok ke bawah itu nampak seakan-akan seperti bulu ekor kucing dan dari situlah namanya, pokok bunga ekor kucing atau Red hot cat’s tail mula terbit.

Ia berbunga tidak menentu musim dan bunganya pula boleh didapati hampir sepanjang tahun.

Daunnya yang berwarna hijau tua itu memiliki bentuk bujur panjang dengan bergigi di sekeliling tepinya serta sedikit berkilat di permukaannya.

Spesies Acalypha hispida terdiri daripada banyak anak bunga kecil berwarna merah tua yang tumbuh melekat pada keliling tangkai bunganya.
Spesies Acalypha hispida terdiri daripada banyak anak bunga kecil berwarna merah tua yang tumbuh melekat pada keliling tangkai bunganya.

Pembiakan

Pada dasarnya, spesies Acalypha hispida cukup senang untuk dibiakkan menggunakan keratan batang atau rantingnya yang telah matang.

Kaedahnya dimulakan dengan mengerat beberapa batang yang telah matang sepanjang 10 sentimeter.

Sapukan hormon penggalak akar di bahagian bawah keratan tadi dan semai dulu dalam medium pasir sungai.

Tutup bahagian atas pasu tanaman dengan beg plastik untuk mempercepatkan pertumbuhan akarnya.

Apabila ia berakar biasanya akan mengambil masa selama beberapa minggu untuk memindahkannya bagi ditanam dalam medium kekalnya.

Ia sesuai untuk ditanam dalam medium tanaman yang kaya dengan humus dan juga air siraman senang untuk mengalir keluar.

Gunakan campuran medium tanaman untuk pokok berpasu iaitu 3:2:1 yang merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.

Penjagaan

Pokok bunga ekor kucing ini perlu didedahkan kepada cahaya yang banyak untuk pengeluaran bunganya yang cantik tetapi elakkan pendedahan kepada cahaya yang terik dalam tempoh terlalu lama kerana ini boleh melecurkan daunnya.

Pokok bunga ekor kucing juga sesuai ditanam di dalam pasu untuk menghiasi ruang laman rumah anda.
Pokok bunga ekor kucing juga sesuai ditanam di dalam pasu untuk menghiasi ruang laman rumah anda.

Ia perlu disiram sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang pada hari panas untuk kelembapan medium tanamannya sentiasa agar ia dapat subur.

Namun elakkan daripada air bertakung di dalam medium tanamannya kerana ini boleh mematikan pokok.

Juga sembur daunnya dengan air terutama pada musim panas untuk pertumbuhan pokok yang lebih subur.

Semua jenis baja adalah sesuai untuk membajai pokok ini terutama baja organik kerana ia dapat membekalkan banyak humus untuk pertumbuhan pokok yang subur.

Gunakan baja organik dengan mengikuti arahan yang telah disyorkan di peknya.

Idea pameran

Spesies ini boleh ditanam di atas tanah dan ia boleh tumbuh mencapai sehingga pada ketinggian 150 sentimeter.

Ia juga sesuai ditanam dalam pasu tetapi pokoknya tidak akan tumbuh membesar seperti ditanam di atas tanah.

Di samping itu, ia juga sesuai ditanam sebagai pokok pagaran yang diandam dengan kemas untuk tampil menarik.

ARTIKEL YANG SAMA