Bunga Neomarica Longifolia bukan orkid

Bunga Neomarica Longifolia bukan orkid

NEOMARICA LONGIFOLIA, sejenis spesies daripada keluarga tumbuhan Iridaceae yang merupakan tumbuhan liar cantik dijadikan tanaman hiasan kerana bentuk pokoknya yang menarik serta berbunga cantik.

Bunganya mempunyai tiga kelopak dan sepal yang berwarna kuning polos yang menarik dengan bahagian tengahnya pula berbintik –bintik perang.

Bentuk dan rupa bunganya adalah mirip dengan bunga orkid dan biasanya sepokok hanya berbunga sekali sahaja.

Manakala daunnya pula berwarna hijau tua berbentuk panjang serta tirus di hujung seperti daun lalang.

Spesies Neomarica longifolia ini biasanya tumbuh subur dan sering berbunga terutama semasa musim hujan.

Neomarica Longifolia ditanam sebagai pokok spesimen secara solo dalam pasu untuk dijadikan hiasan menarik.
Neomarica Longifolia ditanam sebagai pokok spesimen secara solo dalam pasu untuk dijadikan hiasan menarik.

Selain Asia, spesies tumbuhan ini juga dikatakan tumbuh liar di beberapa negara di Afrika Barat dan juga Amerika Selatan seperti Mexico.

Pembiakan

Tumbuhan ini mudah untuk dibiakkan menggunakan kaedah belahan rumpun.

Keluarkan rumpunnya dari pasu atau cabut dari tanah. Pecahkan atau bahagikan rumpunnya yang besar itu kepada beberapa rumpun yang kecil.

Tanam setiap rumpun kecil dalam beberapa buah pasu yang lain atau di tanah dan berikan penjagaannya seperti pokok dewasa yang lain.

Pokok ini juga boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah penanaman anak pokok yang tumbuh di tangkai bunganya.

Sekiranya anda berminat, cuba praktikkan kaedah penanaman seperti berikut.

Potong anak pokok yang terdapat pada tangkai bunganya dan tanam setiap anak pokok dalam pasu atau di tanah.

Di samping itu, anda juga harus terus menyiramnya dan memastikan medium tanamannya sentiasa kekal lembap. Gunakan medium tanaman yang bersaliran baik, lembap serta kaya dengan kandungan humus dan air siraman senang mengalir keluar.

Manakala, medium tanaman yang disyorkan ialah dalam nisbah campuran 3:2:1 iaitu tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai.

Penjagaan

Ia memerlukan medium tanaman yang lembap sentiasa. Oleh itu siram dua kali sehari pada waktu pagi dan juga petang pada hari panas.

Bunga Neomarica Longifolia mempunyai tiga kelopak dan sepal yang berwarna kuning polos.
Bunga Neomarica Longifolia mempunyai tiga kelopak dan sepal yang berwarna kuning polos.

Selain itu, ia juga perlu didedahkan kepada cahaya yang banyak untuknya sentiasa berbunga lebat.

Kebanyakan baja untuk pokok terutama baja organik diproses seperti najis ayam atau kambing adalah sesuai untuk membajai pokok ini. Gunakan baja kimia berwarna hijau bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru untuk penampilan rumpun pokok yang besar dan cantik.

Manakala baja kimia berwarna merah pula adalah untuk menggalakkan tumbuhan ini berbunga dengan lebat.

Idea Pameran

Pada dasarnya, ia adalah merupakan pokok yang senang membentuk rumpunnya yang cantik dan menarik sesuai untuk menghiasi landskap yang bertemakan Nusantara dan tropika.

Kini tumbuhan ini banyak digunakan untuk menghiasi landskap bandar kerana pameran bunganya yang menarik dan kerap berbunga.

Di samping itu ia juga sesuai ditanam sebagai pokok spesimen secara solo dalam pasu atau bekas tanaman lain.

Namun ia juga sesuai untuk ditanam terus di tanah yang lembap sebagai pokok rumpun.

ARTIKEL YANG SAMA