Bunuh: Zulkifli dihadapkan semula

Bunuh: Zulkifli dihadapkan semula

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Lelaki yang mengaku membunuh seorang lelaki tempatan yang mayatnya dijumpai di dalam kereta pada 23 Mei di belakang bangunan komersil di Jalan Pandan 7 sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.

Dalam sebutan, Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin memohon kepada mahkamah bagi Muhammad Zulkifli bin Abdul Jalil, 27, untuk ditahan reman di Penjara Jerudong selama dua minggu kerana siasatan terperinci hampir selesai.

“Saya memohon maaf atas apa yang berlaku, dan saya berharap agar mahkamah dapat memberi peluang kepada saya dan Muhammad Hakimi Rizal untuk menebus dosa kami dan kembali ke jalan yang benar,” kata Muhammad Zulkifli sebelum melangkah keluar dari kandang tertuduh.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 25 Jun untuk sebutan semula.

Timbalan Pendakwa Raya turut memaklumkan kepada mahkamah mengenai kematian tertuduh pertama, Muhammad Hakimi Rizal bin Abdullah @ Eyan anak Beritin yang ditemui tidak sedarkan diri dalam sel Balai Polis Pusat kira-kira pukul 10:05 pagi pada 2 Jun 2015.