Bursa Malaysia dijangka saksi dagangan berhati-hati pada 2016

Bursa Malaysia dijangka saksi dagangan berhati-hati pada 2016

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) – Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati pada 2016, rentetan daripada keadaan tidak menentu dari dalam dan luar negara pada tahun ini, namun laluan ke arah pemulihan boleh berlaku dengan jangkaan ekonomi kembali mengukuh.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata pasaran saham dunia akan memasuki kitaran monetari yang lebih ketat setelah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur seiring dengan ekonomi yang stabil.

“Keupayaan Amerika Syarikat untuk terus menyediakan mudah tunai ke seluruh dunia agak kurang sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Itulah sebabnya kita berasa mudah tunai yang lebih ketat.

“Selain itu, perkembangan lain di peringkat dunia ialah kelembapan pertumbuhan di China (yang akan memberi kesan kepada pasaran),” katanya kepada Bernama.

Pengukur pasaran tempatan, FBM KLCI, terjejas dengan teruk oleh keadaan tidak menentu makro sepanjang 2015 – harga minyak mentah merudum, saham dunia yang turun naik khususnya China, aliran keluar modal menjelang keputusan Rizab Persekutuan Amerika menaikkan kadar serta momentum pendapatan yang lemah.

FBM KLCI turun 12 peratus dari paras tertingginya pada 1,893 mata pada tahun 2014 ke paras purata semasa 1,664, terjejas oleh ancaman kepada pertumbuhan global pada 2015 dan keadaan yang tidak pasti berhubung kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS.

Dilaporkan bahawa dana asing telah menarik keluar RM16.4 bilion daripada Malaysia pada tahun ini berbanding dengan aliran keluar sebanyak RM6.9 bilion pada 2014.

Pada 16 Disember Rizab Persekutuan AS menaikkan julat kadar faedah penanda arasnya sebanyak satu per empat daripada mata peratusan kepada antara 0.25 peratus dan 0.5 peratus, langkah yang membayangkan bahawa ekonomi terbesar di dunia itu telah pulih daripada krisis kewangan.

Ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.0 peratus pada suku ketiga 2015 selepas berada pada kedudukan yang baik selama lebih enam tahun ke arah pemulihan.

Ia berkembang sebanyak 2.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini dan dijangka tumbuh pada kadar yang sama pada suku keempat.

Sementara itu, penanda aras harga minyak mentah Brent jatuh di bawah AS$40(AS$1 = RM4.29) setong menjelang akhir tahun, paras terendah dalam tempoh lebih enam tahun, setelah sentimen negatif sentimen dalam keadaan lebihan penawaran bertambah dan ini diburukkan lagi dengan pengukuhan dolar AS.

Faktor-faktor ini dapat dilihat dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia dan ringgit telah terjejas dengan situasi ini berbanding negara-negara Asia yang lain.

Ringgit yang paling terjejas dalam kalangan mata wang Asia, mencecah rekod terendah 4.46 berbanding dolar AS pada September 2015 dan begitu juga dengan bursa saham Malaysia yang telah menerima kesan yang agak teruk berbanding pasaran Asia lain.

“Syarikat-syarikat yang berorientasikan eksport menikmati keupayaan untuk mengeksport dengan kelemahan ringgit. Ringgit kini telah stabil dan faktor ini tidak wujud,” kata Pong.

Beliau menjangka ringgit diniagakan antara 4.20 dan 4.40 berbanding dolar AS tahun depan.