Bursa M’sia terbit pelbagai pindaan

Bursa M’sia terbit pelbagai pindaan

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Bursa Malaysia Bhd telah menerbitkan pelbagai pindaan ke Pasaran Utama dan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE hari ini bagi meningkatkan standard pendedahan dan amalan tadbir urus korporat (CG).

Memandangkan standard pengauditan antarabangsa berhubung dengan hal-hal audit yang utama telah berubah, pindaan itu juga memperkenalkan penambahbaikan bagi menggalakkan ketelusan yang lebih besar kepada perkara-perkara penting yang diketengahkan dalam laporan juruaudit.

Bursa Malaysia berkata pindaan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bermula dari 30 April 2016, untuk memastikan syarikat yang tersenarai mendapat tempoh secukupnya bagi memahami dan mematuhi pindaan itu.

Antara pindaan yang dibuat termasuk meningkatkan kualiti pendedahan dalam laporan tahunan dengan menetapkan pendedahan maklumat bukan kewangan seperti perbincangan pengurusan dan analisis.

Ini bertujuan untuk membantu pelabur dalam membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat dan pada masa yang sama, mengurangkan beban pematuhan kawal selia melalui penghapusan maklumat yang dianggap sebagai berlebihan berbanding laporan tahunan.

Pindaan lain termasuklah meningkatkan tahap ketelusan dan penglibatan pemegang saham dengan mensyaratkan penyiaran ringkasan perkara-perkara utama yang dibincangkan semasa mesyuarat agung tahunan di laman sesawang syarikat tersenarai.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, berkata pasaran modal adalah persekitaran yang dinamik di mana peraturannya sentiasa dikemaskini bagi memastikan ianya terus relevan dan berkesan.

“Dalam hal ini, bursa mendapati bahawa peningkatan pendedahan dan keperluan tadbir urus korporat adalah perlu bagi memenuhi keperluan pelabur sofistikated yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pindaan itu mengikuti kajian dan rundingan awam yang dijalankan pada bulan Oktober 2015 dengan objektif utama untuk menggalakkan ketelusan serta mengekalkan standard tertinggi dalam integriti pasaran dan perlindungan pelabur.

ARTIKEL YANG SAMA