Bursa Saham Athens beroperasi semula

Bursa Saham Athens beroperasi semula

ATHENS, 3 Ogos (AFP) – Hari ini tumpuan diberikan kepada bank-bank Greece yang dilanda masalah apabila Bursa Saham Athens dibuka semula selepas ditutup selama lima minggu ekoran krisis hutang negara itu, dengan para peniaga bersiap sedia bagi sesi turun naik.

Saham-saham bank dijangka terutamanya terjejas ketika para peminjam negara itu dalam kedudukan mudah terjejas kerana pengaliran keluar berbilion-bilion euro dari deposit dalam tempoh enam bulan lalu.

Kira-kira 40 bilion euro dikeluarkan dari bankbank Greece sejak Disember, menurut pertubuhan bank negara itu, di tengah-tengah kebimbangan berhubung nasib ekonomi Greece.

Pembukaan semula pasaran saham dibuat selepas para juruaudit kanan Kesatuan Eropah (EU) dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengadakan pertemuan pertama mereka dengan para menteri Greece untuk memuktamadkan jaminan baru tiga tahun bagi negara itu yang mungkin bernilai hingga 86 bilion euro.

Sesi perdagangan terakhir bursa saham Athens ialah pada 26 Jun, beberapa jam sebelum Perdana Menteri Alexis Tsipras mengumumkan referendum berhubung syarat jaminan ketat yang dituntut oleh para pemiutang antarabangsa Greece.

Seorang lelaki merakam gambar indeks saham di lobi Bursa Saham Athens yang beroperasi semula di Athens, Greece, pada 3 Ogos 2015. – AFP
Seorang lelaki merakam gambar indeks saham di lobi Bursa Saham Athens yang beroperasi semula di Athens, Greece, pada 3 Ogos 2015. – AFP

Dalam respons itu, penduduk Greece yang bimbang bergegas mengeluarkan wang dari mesin ATM, yang mengakibatkan kerajaan mengenakan kawalan modal dari 20 Julai, dan mengumumkan penutupan bank-bank dan bursa saham negara.

Bank-bank dibuka semula pada 20 Julai, tetapi pengeluaran dan pemindahan wang ke luar negara masih diketatkan.

Rakyat Greece pada masa ini hanya mengeluarkan sehingga 420 euro seminggu. Dari Isnin, bursa saham akan beroperasi seperti biasa bagi pelabur asing, tetap pedagang tempatan akan masih berdepan had transaksi mereka sebagai sebahagian dari kawalan modal yang dikenakan oleh kerajaan.

Pengetatan bermakna para pelabur Greece tidak akan dapat membiayai pembelian sekuriti dengan mengambil wang dari akaun bank mereka di Greece.

Mereka bagaimanapun akan dapat menggunakan akaun bank asing atau melakukan transaksi wang tunai.

Menurut laporan berita semalam, empat peminjam utama – National Bank, Piraeus Bank, Alpha Bank dan Eurobank – akan menjalani kajian kualiti aset lewat bulan ini.